Konflik Asia Barat: Atur Semula Operasi, Optimumkan Sumber Bahan Api Sedia Ada

Penganalisis berkata, keadaan sedia ada wajar diadaptasi pengusaha pelancongan tempatan antara lain memastikan penggunaan bahan api lebih cekap menerusi penyelenggaraan berjadual bagi mengelak petrol dibazirkan.
SEMPORNA, 26 Mac – Konflik di Asia Barat kini menuntut pemahaman dan tindakan rasional semua pihak agar mengatur semula operasi bagi meneruskan operasi dan perniagaan mereka dalam usaha membantu kerajaan menangani bekalan bahan api kini.
Walaupun kenaikan harga petrol tanpa subsidi serta had pembelian minyak menggunakan tong dilihat memberi tekanan kepada pengusaha pelancongan di daerah ini, terutama mereka yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan laut, namun ia boleh dikurangkan kesannya dengan mengoptimumkan sumber sedia ada bagi jangka masa pendek.

Menurut penganalisis politik, keadaan sedia ada wajar diadaptasi pengusaha pelancongan tempatan antara lain memastikan penggunaan bahan api lebih cekap menerusi penyelenggaraan berjadual bagi mengelak petrol dibazirkan ekoran pembakaran enjin tidak sempurna.
Malah, mereka juga disaran mendapatkan nasihat dan bantuan daripada agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menyelaras sumber dan harga bahan api hanya pada kegunaan operasi bot pelancongan sahaja.

“Saya menyeru semua pengusaha bot agar mematuhi dan memahami arahan kerajaan terutamnya dalam memastikan operasi mereka tidak terjejas disebabkan isu yang sebenarnya boleh diselesaikan menerusi perbincangan dan intervensi dengan pihak berwajib,” kata Mohd. Hamzah Abdullah.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI), Mad Zafar Mad Zahala yang mendakwa sektor pelancongan di Semporna antara yang paling terkesan dengan situasi berkenaan.
Katanya, pengusaha pelancongan bergantung sepenuhnya kepada bot untuk aktiviti ‘island hopping’ serta pemindahan pelancong, menjadikan bekalan bahan api sebagai nadi utama operasi harian.
“Sebarang kenaikan kos minyak akan menambah beban operasi pengusaha, manakala had pembelian minyak menyukarkan perancangan logistik dan bekalan, terutamanya bagi pengusaha kecil dan sederhana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Hamzah menggesa agar mereka juga membantu pihak berkuasa mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab menyeleweng bahan api bersubsidi kerana ia merupakan hak milik rakyat Malaysia sahaja.

Untuk rekod, Sabah mencatatkan ketibaan pelancong seramai 988,680 orang bagi tempoh lima bulan pertama tahun 2023.
Daripada jumlah itu, seramai 282,450 adalah pelancong antarabangsa, manakala 706,230 pelancong tempatan dan menyumbang sebanyak RM2.02 bilion untuk pendapatan negeri Sabah.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

