Gempur Penyeludup Bahan Api Subsidi Diperhebat Menerusi Ops Tiris 4.0

Selepas radius 30 kilometer itu, warganegara asing boleh membeli diesel pada kuantiti diperlukan dengan syarat isian bahan api hanya ke dalam tangki kenderaan mereka sahaja. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan bahan bakar bersubsidi, susulan peningkatan risiko akibat ketegangan konflik Asia Barat, akan diperhebat secara besar-besaran, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu turut disokong peluasan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing, yang akan berkuat kuasa 1 April ini.
Menurutnya, peluasan itu mengukuhkan kerangka perundangan sedia ada, yang sebelum ini hanya meletakkan kesalahan kepada pengusaha stesen minyak dan kini turut membabitkan pemandu atau pemilik kenderaan warganegara asing.

“Saya mengingatkan semua pihak sama ada pengusaha stesen minyak mahupun pengguna kenderaan motor asing mematuhi larangan ini.
“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, sindiket mahupun pengusaha yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan subsidi bahan api,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata KPDN turut mengadakan sesi libat urus bersama Malaysia Retail Association (MRA) bagi membincangkan isu berkaitan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga, khususnya kesan konflik Asia Barat.
Menurutnya, hasil kerjasama kerajaan dan industri mendapati bekalan barangan keperluan asas yang diimport masih mencukupi, walaupun berdepan cabaran seperti peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan.
“Agenda penguatkuasaan akan terus diperkasa bagi memastikan pematuhan peraturan, terutama di kawasan sempadan yang berisiko tinggi terhadap aktiviti penyeludupan,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai menjadi ‘mata dan telinga; kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan, sejajar usaha membanteras ketirisan melalui agenda ‘Kita Gempur’.
“Kita akan terus memastikan kepentingan rakyat dilindungi dan ketirisan dibanteras demi manfaat bersama.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


