Komplot Jatuhkan Kerajaan: 14 Saksi Tampil, Ada Yang Lari Dari Malaysia

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kesemua saksi berkenaan dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Polis setakat ini telah merakam percakapan 14 saksi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan melalui tindakan yang didakwa boleh mengancam kestabilan negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kesemua saksi berkenaan dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, hasil semakan bersama Jabatan Imigresen mendapati terdapat beberapa saksi penting telah meninggalkan negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara Januari hingga Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata siasatan itu dibuat susulan satu laporan polis yang diterima pihaknya pada 26 Februari 2026. Foto PDRM

“Polis sedang meneruskan usaha untuk mengesan saksi-saksi tersebut bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis komited menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Sehubungan itu, Kumar menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.

Terdahulu, pada 27 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mendedahkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan wujud komplot menjatuhkan kerajaan yang dipercayai membabitkan seorang tokoh tempatan berpengaruh serta sebuah agensi media antarabangsa.

Menurut beliau, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Media sebelum ini turut melaporkan sebuah keluarga berpengaruh tempatan didakwa mendalangi komplot berkenaan dengan menggunakan platform media antarabangsa serta pelobi luar negara bagi memberi tekanan kepada kerajaan.

Dakwaan itu terkandung dalam satu laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields yang kemudian tular di media sosial.

Pengadu dalam laporan itu mendakwa gerakan berkenaan membabitkan ahli keluarga terdekat seorang bekas menteri yang pernah mempunyai pengaruh besar dalam landskap politik dan ekonomi negara.

Berdasarkan kandungan laporan polis itu, pengadu turut mendakwa rancangan tersebut dikatakan didalangi isteri kepada bekas menteri berkenaan untuk menggunakan beberapa platform media antarabangsa bagi membentuk tekanan terhadap kerajaan di peringkat global.

Gerakan tersebut dipercayai menyasarkan tekanan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk berkaitan dakwaan dalam siasatan membabitkan individu tertentu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *