Bekas Hakim Besar Malaya Meninggal Dunia

Allahyarham Siti Norma meninggal dunia pada usia 86 tahun dan berita itu disahkan anaknya Meor Amri Meor Ayob, 56.
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Bekas Hakim Besar Malaya dan wanita pertama yang memegang jawatan itu, Tan Sri Siti Norma Yaakob, meninggal dunia di KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital di sini, petang tadi.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 86 tahun dan berita itu disahkan anaknya Meor Amri Meor Ayob, 56.
Beliau berkata ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 1.51 tengah hari akibat pneumonia.
Siti Norma dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan pada 6 Julai 1940 dan turut mencatat sejarah sebagai wanita pertama di negara ini yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan serta Hakim Mahkamah Persekutuan.
Allahyarham juga merupakan hakim wanita pertama dari Malaysia yang dilantik menyertai Mahkamah Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC) pada 2008.
Jenazah Allahyarham akan dimandi dan disolatkan di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang pada petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana sejurus selesai solat jenazah.
Sementara itu, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Yaacob Md Sam menyifatkan arwah sebagai tokoh kehakiman yang banyak menghasilkan penghakiman bermutu tinggi sehingga menjadi kes pendahuluan dalam isu-isu perundangan penting.
“Saya doakan semoga roh Allahyarham Tan Sri Siti Norma mendapat tempat dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi pula berkata Allahyarham seorang yang baik hati, tegas serta aktif menghadiri majlis perundangan dan berkongsi pengalaman sepanjang penglibatannya dalam bidang tersebut.
“Kali terakhir saya bertemu Allahyarham tahun lepas pada satu majlis perundangan. Saya amat bangga dengan kejayaan dan pencapaiannya kerana beliau merupakan wanita pertama yang menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


