Kilang Kereta EV PROTON Lonjak Hubungan Malaysia-China – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pekerja kilang kenderaan elektrik (EV) Proton semasa Majlis peluncuran Kilang EV Proton di Proton City di Tanjung Malim pada 4 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
TANJUNG MALIM, 4 Sep – Hubungan Malaysia dan China terus diperkukuh dengan pelancaran kilang kereta elektrik (EV) PROTON pertama di negara ini sekali gus melonjakkan industri automotif negara selangkah ke arah teknologi hijau dan lestari, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, inisiatif itu merupakan hasil daripada kerjasama strategik berterusan dengan kerajaan China, yang bukan sahaja memberi sokongan pelaburan besar tetapi juga pemindahan teknologi menerusi rakan kongsi PROTON, Geely.

“PROTON memiliki pengalaman lama dengan syarikat antarabangsa, dan kini dengan sokongan besar daripada Geely, kita berjaya mengorak langkah lebih jauh. Kerjasama ini termasuk pemindahan teknologi dan pembentukan pusat kecemerlangan untuk melatih anak-anak kita,” katanya ketika merasmikan kemudahan baharu Proton Holdings Bhd (PROTON) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke Siew Fook; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dan Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar.

Kilang pengeluaran EV terbaharu PROTON dianggarkan berkeluasan lebih 2.2 hektar dengan kos pembinaan mencecah hampir RM80 juta mengikut fasa dan kapasiti ribuan unit kenderaan setahun.
Kilang itu juga mengeluarkan EV pertama Proton iaitu e.MAS 7 dan dijangka mengeluarkan model kedua iaitu e.MAS 5.

Anwar berkata, pembangunan kilang EV PROTON itu menyokong dasar transisi tenaga negara serta membolehkan jenama kereta nasional itu beralih daripada hanya sekadar pemasangan kenderaan kepada pengeluaran penuh model EV berteknologi tinggi.
“Pelancaran kilang ini memenuhi keutamaan Dasar Automotif Negara 2020 (NAP2020), bukan sahaja dari segi peralihan tenaga, tetapi juga dalam konteks pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menekankan industri berteknologi tinggi, mobiliti pintar dan kelestarian,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
