Bantuan SARA RM100 Tepat Pada Masanya, Rezeki Berganda Buat Rakyat

Orang ramai mengambil kesempatan membeli barangan keperluan menerusi pemberian secara ‘one-off’ Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 yang ternyata mendapat sambutan luar biasa sejak 31 Ogos 2025. Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR, 4 Sep – Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara sekali beri yang sebelum ini sesetengah pihak mempertikaikan jumlahnya, namun hakikatnya ia memberikan impak besar dalam meringankan perbelanjaan rakyat sekali gus merancakkan ekonomi domestik terutama sejak 31 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Sejak bantuan itu diagihkan kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun bermula Ahad lepas, rata-rata pengguna media sosial memuat naik perkongsian orang ramai mengenai pengalaman mereka memanfaatkan inisiatif itu untuk membeli barangan keperluan asas.

Menyifatkannya sebagai satu pemberian amat bermakna, kebanyakan yang ditemui Bernama di KUALA LUMPUR menganggap bantuan itu sebagai ‘rezeki berganda’, khususnya golongan B40 dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

Orang ramai mengambil kesempatan membeli barangan keperluan asas di kaunter MyKasih yang menempatkan terminal pengesahan SARA di Kuala Terengganu. Foto Bernama

Bagi Nabila Mohd Azmai, 36, dari Damansara, bantuan itu tepat pada masa memandangkan hanya suaminya sahaja yang bekerja ketika ini.

“(Bantuan itu) memang sangat-sangat membantu untuk beli beras, telur dan barangan kering lain bagi bulan ini. Biarpun barang basah tidak termasuk dalam SARA, namun dapat beli beras dan telur pun sudah cukup, itu yang penting,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini.

Zamri Ahmad, 55, pula menyifatkan pemberian SARA adalah peluang untuk rakyat pelbagai peringkat pendapatan mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di samping menyokong peniaga kecil menghabiskan stok jualan.

“Saya datang hendak beli barang lain tetapi alang-alang tengok sekali barang keperluan yang boleh dibeli dengan SARA. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang memerlukan membeli pelbagai barang pada harga berpatutan,” kata pegawai eksekutif di syarikat swasta itu.

Penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menyatakan pemberian RM100 yang diberi kerajaan secara one-off ternyata membantu mengurangkan kos barangan dapur.

Tidak hanya di ibu negara bahkan mereka yang berada di PAHANG turut merasai ‘nikmat kegembiraan’ bantuan itu apabila barang keperluan asas yang dibeli dapat menampung perbelanjaan ibu tunggal Norlia Abdullah, 48, sekurang-kurangnya untuk tempoh sebulan lebih.

Operator kilang itu turut berkongsi pengalaman hanya perlu membayar RM1.85 sahaja untuk membeli barangan dapur berupa beras, minyak masak, snek, makanan segera, barangan cucian dan kebersihan diri bernilai lebih RM200 selepas ditampung bantuan SARA dan MyKasih bernilai RM100 yang diterima setiap bulan.

Sementara itu, Zakiah Che Mat Mokhtar, 50, yang juga seorang suri rumah mengharapkan bantuan SARA dapat digunakan untuk pembelian barangan basah.

“Barang-barang yang ada tag SARA, sudah okey tetapi kalau ada barang basah, lagi okey sebab ada barang-barang basah seperti ayam dan sayur, harganya turut sedikit meningkat,” katanya.

Bantuan secara ‘one-off’ bagi seluruh rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menerusi SARA pada 31 Ogos 2025 dijangka akan ditambah baik menerusi pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025.

Di SELANGOR, Aifa Natasha Azmi, 28, ibu kepada dua anak kecil berkata bantuan SARA yang digabungkan bersama suaminya membolehkan mereka hanya membayar RM1.25 untuk memperoleh 27 barangan asas termasuk beras, telur dan tuala wanita di bawah program MyKasih.

“Sepatutnya saya belanja RM200 untuk bahan kering tetapi bulan ini rezeki kami sekeluarga kerana RM200 yang sepatutnya dibelanjakan dapat digunakan bagi tujuan lain,” kata pekerja swasta itu.

Selain itu, dia berkata kaedah penebusan SARA juga mudah apabila hanya perlu mengunjungi pasar raya terpilih yang kebanyakannya berdekatan rumah dan dapat berbelanja seperti biasa dengan melihat senarai barangan yang dibenarkan.

Berlainan pula dengan pekerja swasta Nor Zamira Che Noh, 32, yang bercadang menggunakan wang bantuan untuk membeli makanan kering sebagai simpanan keluarga di kampung dalam menghadapi kemungkinan banjir yang sering melanda pada setiap hujung tahun.

Nurul Izzah Anwar dan Amirudin Shari melihat SARA menyediakan keperluan asas untuk kelangsungan hidup rakyat dan biarpun ini mungkin kecil bagi mereka yang hidup serba cukup, tetapi amat besar maknanya buat mereka yang benar-benar memerlukan.

Di TERENGGANU, ibu tunggal dan peniaga kedai makan, Norharizan Hassan, 47, berkata bantuan diterima itu dirancang bersama dua anaknya untuk disimpan bagi kegunaan waktu kecemasan seperti musim banjir, manakala anak sulungnya bersama menantu akan menggunakan bantuan itu membeli keperluan bayi.

“Tiga anak berusia antara 22 hingga 27 tahun masih tinggal bersama kerana dua orang membantu saya di kedai makan, manakala anak bongsu Orang Kurang Upaya (OKU) autistik. Nak sewa rumah, kosnya sangat mahal, sebab itu kami berjimat tinggal bersama.

“Sejujurnya pendapatan saya cukup-cukup makan, bayar hutang rumah serta kereta. Sebab itu, saya rasa amat bersyukur dan terharu apabila Perdana Menteri umumkan bantuan berkenaan. Sebelum ini tak pernah terima apa-apa bantuan termasuk STR (Sumbangan Tunai Rahmah),” katanya.

Surirumah, Zakiah Che Mat, 50, (kiri) mengeluarkan MyKad untuk diimbas ketika membeli barangan keperluan dengan menggunakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ketika tinjauan Bernama di sebuah pasar raya baru-baru ini.

Di KELANTAN, bantuan SARA itu bukan sekadar bantuan kewangan buat keluarga Ab Manaf Mat Shah, 68, tetapi satu peluang memupuk amalan berbelanja secara berhemah dan bijak.

Peniaga itu berkata kesemua sembilan anaknya serta lapan menantu dan tiga cucunya yang berusia 18 tahun ke atas layak menerima bantuan berkenaan dengan jumlah keseluruhan diterima mereka mencecah RM2,100 dan akan digunakan sebaik mungkin mengikut keperluan yang perlu didahulukan.

Bantuan SARA yang disalurkan secara sekali beri melalui MyKad yang bermula 31 Ogos itu memberikan manfaat kepada 22 juta rakyat, melibatkan peruntukan RM2 bilion.

SARA itu diberikan kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira kategori B40, M40 atau T20 yang boleh ditebus secara tanpa tunai di pasar raya terpilih menggunakan MyKad masing-masing. – Bernama

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *