Dunia Digesa Bertindak Tegas, Konsisten Terhadap Kekejaman Di Gaza – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Dialog Shangri-La ke-22 di Singapura pada 31 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
SINGAPURA, 31 Mei – Masyarakat antarabangsa digesa bertindak tegas dan konsisten dalam menangani pembunuhan beramai-ramai di Gaza kini, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam Ucapan Khas beliau sempena Dialog Shangri-La ke-22 di sini, Perdana Menteri berkata skala kemusnahan, secara terang-terangan tidak mengendahkan norma kemanusiaan, serta kegagalan institusi global dalam menangani konflik tersebut, menuntut lebih daripada sekadar luahan simpati.

“Kita tidak boleh membiarkan kemarahan terpilih atau kelesuan strategik mengaburi kejelasan moral kita. Sesungguhnya, pembunuhan beramai-ramai di Gaza satu ujian terhadap kesedaran kolektif kita,” kata beliau.
Anwar turut menggambarkan landskap global semasa – dengan jumlah konflik bersenjata tertinggi sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua – sebagai satu detik yang serius dalam sejarah.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak berada di bawah satu ilusi mengenai cabaran keselamatan yang bakal dihadapi, sambil menyatakan bahawa kestabilan yang berkekalan perlu berdasarkan kepada asas yang kukuh, dasar yang jelas dan visi jangka panjang.
Anwar turut menegaskan bahawa ASEAN tidak bersikap pasif dalam menangani krisis di Myanmar.

Beliau berkata walaupun blok serantau itu tidak berniat untuk menentukan hala tuju politik negara tersebut, ASEAN tetap berpegang teguh kepada jangkaan yang digariskan dalam Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar.
“Pembinaan negara Myanmar mesti dipupuk menerusi keterangkuman, bukan pengasingan,” ujarnya.

Mengulas isu Laut China Selatan pula, Anwar berkata Malaysia secara berterusan bimbang mengenai potensi peningkatan ketegangan dalam kalangan negara penuntut di kawasan tersebut dan akan terus berinteraksi dengan semua pihak secara tenang, langsung dan konsisten.
“Kami tidak berminat untuk melihat ketegangan bertukar menjadi konfrontasi – apatah lagi di perairan yang begitu penting kepada keselamatan dan kemakmuran kami sendiri,” ujarnya lagi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
