Kesediaan Kerajaan Teruskan Pencarian MH370 Beri Harapan Baharu Kepada Waris

Anthony Loke bersama ahli keluarga mangsa yang hadir memperingati tragedi MH370 pada Ulang Tahun MH370 10 Tahun di pusat beli belah Empire Subang.
SUBANG, 3 Mac – Selepas hampir 10 tahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, pengumuman menyusul Malaysia sedia memulakan semula pencarian pesawat itu memberi harapan baharu kepada waris penumpang dan anak kapal untuk merungkai kebenaran.
Intan Maizura Othaman, isteri kepada pramugara MH370, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, berkata pengumuman oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, itu adalah petanda untuk mencari noktah kepada misteri pesawat yang hilang pada 8 Mac 2014 itu.
“Saya berharap pencarian diteruskan, bukan kerana saya atau mana-mana ahli keluarga masih belum “move on” tapi kita perlu tahu perkara sebenar.
“Ia bukan hanya penting kepada keluarga tetapi juga untuk tujuan keselamatan penerbangan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Memperingati 10 Tahun MH370 di sini, hari ini.
Terdahulu, Loke mengumumkan, Malaysia komited untuk meneruskan pencarian pesawat MH370 dan pihaknya sedia untuk bertemu dengan firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity bagi membincangkan cadangan pencarian itu atas kapasiti “no find, no fee” (tidak jumpa, tiada bayaran), seperti yang dicadangkan waris penumpang pesawat berkenaan.

Bagi tujuan itu, Loke berkata, beliau akan mendapatkan kelulusan Kabinet berhubung perjanjian dengan Ocean Infinity dan menjangkakan tiada masalah untuk Kabinet memberikan kelulusan.
Sementara itu, VPR Nathan, suami kepada penumpang MH370, Anne-Daisy, berkata beliau yakin jejak pesawat itu dapat ditemui.
“Sudah tentu ia boleh ditemui, hanya menunggu masa. Ada kapal hilang yang ditemui selepas ratusan tahun, jadi kita tidak boleh mengatakan bahawa pesawat ini tidak akan ditemui.
“Satu-satunya pilihan adalah dengan melakukan carian aktif berdasarkan apa-apa maklumat yang kita perolehi atau apa-apa pemurnian yang dibuat terhadap maklumat sedia ada,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Loke kerana memberi sokongan kepada waris penumpang dan hasrat mereka.
“Saya faham yang kerajaan Malaysia tidak boleh membelanjakan wang tanpa had untuk mencari, tetapi pilihan “no find, no fee” sangat baik kerana hanya perlu membayar jumlah yang dibenarkan jika pesawat itu ditemui,” katanya.
Pada majlis yang diadakan di sebuah pusat beli belah itu, sebahagian waris penumpang dan anak kapal MH370 berkumpul bagi memperingati tragedi itu.
Pelbagai pengisian diadakan termasuk ucapan daripada waris, bacaan sajak dan tayangan video, selain pameran serpihan MH370 dan yang dipercayai kemungkinan besar milik pesawat itu.
Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) KLIA ke Beijing, China.
Penerbangan pesawat B777-200 itu berlepas dari KLIA pada jam 12.41 tengah malam dan dijadualkan tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi waktu tempatan, hari yang sama.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
