Amir Jahari Sampaikan ‘Hasrat’ Rakyat Palestin Rangkul AJL 38

Amir Jahari merangkul Anugerah Juara Lagu ke-38 menerusi lagu ‘Hasrat’ yang disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Meruntun perasaan lebih 8,000 penonton, lagu Hasrat dendangan Amir Jahari muncul sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung di Axiata Arena di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu melayakkan anak kelahiran Kuching, Sarawak itu yang juga pencipta lagu tersebut bagi runut bunyi (soundtrack) filem ‘Imaginur’ merangkul hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.
Dalam linangan air mata, Amir atau nama sebenarnya Mohamad Amirullah bin Jahari dalam ucapan kemenangannya tidak menyangka Hasrat bergelar juara namun mendedikasikan trofi tersebut kepada peminat yang sentiasa menyokongnya.
“Terima kasih kepada isteri, ibu bapa, juri dan semua yang terlibat.

“Ini untuk anda dan terima kasih sangat,” katanya.
Berkonsepkan ‘daun yang gugur dari pokok’ sebagai simbolik kepada gugurnya nama yang tertera di Sidratul Muntaha, lantunan Amir dengan persembahan dua pelakon utama filem itu iaitu Beto Kusyairy dan Diana Danielle ternyata memukau penonton.
Ia juga dilihat sebagai satu simbolik kepada perjuangan rakyat Palestin di Gaza yang kini mengorbankan lebih 30,000 nyawa sejak 7 Oktober tahun lalu.
Sementara itu, lagu nyanyian Aisha Retno pula menepati ramalan apabila muncul sebagai naib juara menerusi taruhan lagu berjudul ‘Sutera’.
Dengan persembahan ‘ala-Jawa’ diiringi dengan vokal mantap berjaya menewaskan peserta ‘kegemaran’, Aina Abdul yang terpaksa berpuas hari sekadar di tempat ketiga menerusi lagu ‘Jangan Mati Rasa Itu’.

Aisha membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 manakala Aina RM30,000 berserta trofi.
Bagi kategori Vokal Terbaik, kemenangan berpihak kepada Aina sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi.
AJL38 bertemakan Muzikaverse dan dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad.
Antara artis yang turut melakukan persembahan pembukaan dan showcase penutup adalah Shila Amzah, Venessa Reunauld, Dayang Nurfaizah, Datuk Zainal Abidin dan Ella.
Pada edisi kali ini, pengarah muzik tersohor Datuk Mokhzani Ismail dilantik sebagai ketua juri manakala juri lain seperti Datuk Wah Idris, Noryn Aziz, Acis Gersang dan Ad Samad bertindak selaku juri bersama.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
