PM Anwar Tiba Di Melbourne Untuk Lawatan Rasmi Sulung Ke Australia

Perdana Menteri Datuk Seri AnwarIbrahim bersama isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selamat tiba di Melbourne, Australia. Foto Instagram Anwar Ibrahim
MELBOURNE, 3 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Melbourne, malam ini, untuk memulakan lawatan rasmi sulungnya ke Australia atas jemputan rakan sejawat, Anthony Albanese.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dengan ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jet Base Melbourne kira-kira jam 10.40 malam waktu tempatan atau 7.40 malam waktu Malaysia.
Dalam lawatannya itu, Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan Antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM), esok, dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia dari 5 hingga 6 Mac.
Menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, Malaysia dan Australia akan mempertimbangkan langkah-langkah untuk meningkatkan spektrum kerjasama yang luas, disokong oleh rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif, termasuk dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan, ekonomi digital serta keselamatan siber.
Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia pula diadakan sempena ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia, dengan ASEAN dan Australia akan mengkaji semula situasi kerjasama semasa dan membincangkan penambahbaikan kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang, termasuk peralihan tenaga, pembangunan modal insan, integrasi ekonomi, kesalinghubungan serta kerjasama maritim. – BERNAMA
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
