Kes Seludup Vape Ke Singapura Melonjak 20 Peratus

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memaklumkan bahawa lebih 3,700 individu turut ditangkap kerana memiliki atau menggunakan vape dari 1 April hingga 30 Jun. Foto The Straits Times

SINGAPURA, 27 Ogos – Sebanyak 19 kes penyeludupan vape berskala besar dikesan di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut Singapura antara April dan Jun, membawa kepada rampasan sekitar 90,000 vape serta produk berkaitan.

Dalam kenyataan media bersama pada 26 Ogos, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memaklumkan bahawa lebih 3,700 individu turut ditangkap kerana memiliki atau menggunakan vape dari 1 April hingga 30 Jun.

Bilangan itu meningkat hampir 20 peratus berbanding suku pertama 2025, apabila lebih 3,100 individu ditangkap. Ia juga lebih tinggi berbanding 2,530 individu yang ditangkap pada suku kedua 2024.

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memaklumkan bahawa lebih 3,700 individu turut ditangkap kerana memiliki atau menggunakan vape dari 1 April hingga 30 Jun. Foto The Straits Times

Setakat 12 Ogos, sebanyak 29 kes vape bercampur etomidate, atau Kpod, dikesan, sembilan kes pengimportan atau penjualan, manakala selebihnya berkaitan penggunaan haram, menurut MOH dan HSA.

Antara April dan Jun, HSA mendenda lapan individu yang memuat naik foto atau video mereka bersama vape di media sosial. Kesemua pesalah telah memadam kandungan berkenaan, kata agensi itu.

Dalam salah satu kes, HSA menyerbu rumah dua remaja lelaki berusia 18 tahun pada Jun selepas menerima maklumat mengenai video dalam talian yang menunjukkan mereka menggunakan vape di kedai basikal di Kallang.

Pada hari sama, HSA mengunjungi kedai basikal tersebut dan menahan dua lelaki lain berusia 17 dan 29 tahun kerana menggunakan vape.

Keempat-empat individu itu didenda serta merta, lapor The Straits Times (ST).

HSA turut bekerjasama dengan platform e-dagang dan media sosial untuk memadam lebih 2,000 senarai dalam talian berkaitan vape dan komponennya dari April hingga Jun.

Jumlah itu naik lima kali ganda berbanding 408 senarai yang dipadam dalam suku pertama.

Antara April dan Jun, HSA mendakwa lapan lelaki dan empat wanita berusia 17 hingga 46 tahun kerana menjual vape, dengan hukuman termasuk diletakkan dalam pemerhatian, denda dan penjara.

Lima individu lain turut berdepan pertuduhan di mahkamah bagi kes pengimportan atau penjualan Kpod.

Salah satu kes membabitkan seorang lelaki yang menghasilkan Kpod di pangsaputrinya di Yishun untuk dijual.

Lelaki itu dijatuhi hukuman penjara selama 16 bulan dan denda SGD$400 (RM1,314) pada 26 Ogos, dalam sabitan pertama di Singapura berkaitan Kpod.

Empat lagi kes membabitkan lelaki berusia 19 hingga 55 tahun masih dalam siasatan, menurut agensi berkenaan.

“Pihak berkuasa mengekalkan pendirian tegas terhadap pelawat yang cuba membawa masuk produk tembakau terlarang ke Singapura, dengan hukuman termasuk denda bagi pesalah.

“Syarikat pengangkutan serta pemandu yang terlibat dalam aktiviti pengimportan juga mungkin akan didakwa.

“Warga asing yang didapati bersalah di Singapura akan dihantar pulang selepas menjalani hukuman mereka dan dihalang daripada memasuki negara ini kembali,” kata MOH dan HSA.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *