Kerjasama Trilateral Malaysia-Indonesia Di Laut Sulu, Sulawesi Diperhebat – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 di Istana Merdeka, Jakarta pada 29 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
JAKARTA, 29 Jul – Hasil Rundingan Tahunan ke-13 yang diadakan di Istana Merdeka, di sini antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Prabowo Subianto, Malaysia dan Indonesia bersetuju memperhebat kerjasama melalui kerangka Perjanjian Kerjasama Trilateral bagi memelihara ketenteraman di Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
Mengulas hasil rundingan itu, Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara sepakat untuk menghormati garis persempadanan yang ditentukan berdasarkan perundangan antarabangsa dan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Pada masa sama, Anwar menjelaskan, ia dilakukan bagi menjaga kepentingan kedua-dua negara menerusi pematuhan undang-undang antarabangsa sedia ada.
“Jadi kita sama-sama menjaga kepentingan masing-masing dan menghormati kaedah persempadanan yang ditentukan hukum antarabangsa. Jadi kita maju dengan semangat itu supaya tidak ada ketegangan.

“Tetapi sementara itu kita beri laluan supaya jangan terganggu kepentingan nelayan, kepentingan dagang dan kedudukan penduduk sekitarnya” katanya dalam sidang media bersama media Malaysia di akhir lawatan kerja beliau ke Indonesia di Sekretariat ASEAN, di sini.

Terdahulu Anwar dan Prabowo mengadakan rundingan tahunan yang pertama kali diadakan atas kapasiti masing-masing dan dihadiri delegasi kedua-dua negara serumpun itu sejak kali terakhir diadakan pada 2017.
Anwar dalam rangka lawatan kerja dua hari ke republik itu dan turut dijemput menyampaikan ucaptama sulung selaku Pengerusi ASEAN 2025 di Gedung Sekretariat ASEAN di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
