Kerja Baik Pulih Jalan Raya Timur Barat Diteliti Ikut Laporan PCA

Kerja-kerja pembaikan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) akan dilaksanakan sebaik mendapat laporan PCA dalam masa terdekat.
KOTA BHARU, 23 Jun – Perancangan kerja-kerja baik pulih jalan raya, khususnya di laluan strategik seperti Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan akan akan diteliti sebaik Jabatan Kerja Raya (JKR) meneliti laporan Penilaian Keadaan Turapan (PCA) yang kini berada di peringkat akhir
Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Roslan Ismail, penilaian berkenaan penting bagi mengenal pasti tahap kerosakan turapan serta menentukan kaedah penyelenggaraan paling sesuai agar peruntukan dapat digunakan secara optimum.
“Bagi laluan JRTB Gerik–Jeli, penilaian PCA telah dilaksanakan sejak 13 Mac lepas dengan penggunaan teknologi canggih seperti Multi Laser Profiler dan Falling Weight Deflectometer.
“Penilaian ini dimulakan awal tahun dan kini berada di peringkat akhir. Berdasarkan laporan PCA, kerja baik pulih akan menggunakan peruntukan sedia ada sebanyak RM55 juta. Sekiranya tidak mencukupi, kita akan mengemukakan permohonan tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan, di sini pada Ahad.
Sementara itu, mengulas mengenai projek pembangunan di negeri Kelantan, Roslan berkata sebanyak 297 projek pembangunan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM12.4 bilion sedang dan akan dilaksanakan di tahun ini, melibatkan pelbagai kementerian serta agensi kerajaan.

“JKR menyambut baik saranan supaya kerja-kerja kecil yang dilaksanakan kontraktor Gred G1 hingga G4 diperbanyakkan, selain menghidupkan semula pelaksanaan kerja undi perdana bagi membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor kecil menyertai projek kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Roslan berkata kerja baik pulih secara menyeluruh tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh singkat kerana ia melibatkan kos yang besar selain perlu mengambil kira kelancaran projek infrastruktur lain yang sedang berjalan.
“Kita bersetuju dengan saranan Menteri Besar Perak, yang juga selari dengan perancangan JKR sejak dahulu. Namun, perlu difahami bahawa agihan peruntukan negara menggunakan pendekatan whole of nation, iaitu berdasarkan keutamaan tahunan secara menyeluruh.

“Insya-Allah, hasil saranan kerajaan negeri serta penekanan daripada Menteri Kerja Raya, kita telah mengemukakan permohonan bagi pelaksanaan penambahbaikan secara berperingkat,” katanya.
JRTB sepanjang 215 kilometer dikenal pasti sebagai antara laluan strategik yang sering mengalami kerosakan akibat faktor cuaca ekstrim dan aliran trafik tinggi termasuk laluan utama kenderaan berat dari Pantai Timur ke Pantai Barat di kawasan utara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

