Ahmad Zahid Sifatkan Juma’ani Komited Perkasa Wanita

Ahmad Zahid mewakili Kerajaan Persekutuan menziarahi keluarga Premier Sarawak di Kuching pada 23 Jun 2025.

KUCHING, 23 Jun – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan allahyarham Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang sebagai seorang wanita yang lemah lembut, penuh budi pekerti serta sangat dekat dengan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan, khususnya dalam memperkasa wanita dan komuniti di Sarawak.

Beliau yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kehilangan allahyarham bukan sahaja dirasai oleh keluarga terdekat, malah turut diratapi oleh seluruh rakyat Sarawak yang amat menghargai jasa dan sumbangan beliau selama ini.

“Salam takziah saya ucapkan kepada sahabat seperjuangan saya, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di atas pemergian isteri tercinta, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

https://www.facebook.com/share/p/1ArAEUEsXm/?mibextid=wwXIfr

Ujarnya, pemergian insan tercinta yang telah menjadi teman hidup setia, pendamping dalam suka dan duka serta penyokong utama dalam perjalanan kepimpinan Abang Johari merupakan satu kehilangan yang amat besar dan mendalam.

Beliau telah mewakili Kerajaan Persekutuan menziarahi keluarga Premier Sarawak pagi ini bagi menyampaikan ucapan takziah serta menyatakan solidariti dan doa seluruh warga Malaysia atas kehilangan yang amat dirasai ini.

“Saya mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.

“Semoga YAB Premier dan seluruh keluarga dikurniakan kekuatan, ketabahan serta reda dalam menghadapi saat yang penuh ujian ini,” katanya.
Allahyarhamah meninggal awal pagi tadi sekitar jam 3.34 pagi pada usia 76 tahun di Pusat Perubatan Normah, Kuching.

Majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching dari 10 pagi sehingga 12 tengah hari.

Acara pengebumian pula akan diadakan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *