Kerangka Agenda Bumiputera Perlu Melangkaui Sudut Pandang Sempit – PM Anwar

Anwar (tengah) berbual bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof selepas merasmikan pra pelancaran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 14 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan MADANI bertekad untuk memperkukuhkan agenda Bumiputera yang akan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat dan bukan hanya kumpulan tertentu sahaja.
Justeru, Perdana Menteri berkata kerangka agenda Bumiputra perlu melangkaui sudut pandang sempit kononnya ia hanya untuk kepentingan Bumiputera semata-mata.
Malah, katanya, pertumbuhan baharu Bumiputera perlu dikenal pasti selain daripada pengumpulan data yang bersistematik.
Beliau berkata demikian melalui Facebook susulan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputra (MEB) Bilangan 1 Tahun 2024 hari ini.
Anwar mempengerusikan mesyuarat itu yang turut dihadiri ahli MEB terdiri dua timbalan perdana menteri, menteri-menteri berkaitan serta wakil daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata mesyuarat telah meneliti kertas cadangan hala tuju agenda Bumiputera yang turut mengambil kira input yang diperoleh daripada sesi libat urus yang diadakan.
“Hatta, perbincangan turut menyentuh persediaan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) dijadual 29 Februari hingga 2 Mac, waima saya tekankan supaya Kongres ini perlu menjadi penggerak kepada perspektif serta pendekatan baharu ke atas kerangka agenda Bumiputera.
“Usai mesyuarat, saya turut mengambil kesempatan untuk menyempurnakan Pra-Peluncuran KEB 2024. Kongres ini akan berlangsung pada hujung Februari 2024,” katanya.
Sementara itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melalui ciapan di laman X berkata, KEB 2024 memperkasakan agenda Bumiputera agar lebih positif, progresif dan inovatif.
Beliau berkata, mesyuarat MEB turut membincangkan agenda pembangunan sosioekonomi Bumiputera serta pengukuhan industri halal.
KEB 2024 akan mencadangkan hala tuju baharu dalam memperkasakan Bumiputera dengan lebih adil, saksama dan inklusif, katanya.

“Semoga agenda ekonomi Bumiputera terus diperkuat dan memberi manfaat yang berkekalan kepada komuniti bumiputera serta negara, insya-Allah,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
