PM Anwar Buka Saluran WhatsApp Rasmi, Lebih 800 Orang Ikuti Sejak Petang Tadi

Foto pertama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimuat naik di saluran WhatsApp rasmi beliau hari ini. Foto WhatsApp Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 14 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluncurkan saluran WhatsApp (WhatsApp Channel) rasmi beliau petang tadi.
Menerusi catatan di aplikasi itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memuat naik foto memaparkan beliau meneliti tetapan selepas membuka akaun berkenaan sebaik selesai memasukkan foto profil beliau.
”Salam. Saya baru nak cuba WhatsApp channel,” tulis Anwar bagi memulakan kemas kini hantaran di saluran aplikasi berkenaan.
Setakat berita ini ditulis, lebih 800 pengikut telah mengikuti saluran WhatsApp itu dan dijangka akan melepasi angka 1,000 tidak lama lagi.
Kemas kini pertama Anwar di saluran itu ialah apabila beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 1 Tahun 2024 seraya dihadiri ahli-ahli MEB terdiri daripada Timbalan-timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri yang berkaitan dan wakil-wakil daripada Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

“Mesyuarat telah meneliti kertas cadangan hala tuju agenda Bumiputera yang turut mengambil kira input-input yang diperolehi daripada sesi libat urus yang telah diadakan.
“Hatta, perbincangan turut menyentuh persediaan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) dijadual pada 29 Februari hingga 2 Mac, waima saya tekankan supaya Kongres ini perlu menjadi pengerak kepada perspektif serta pendekatan baharu ke atas kerangka agenda Bumiputera,” ujar Anwar.
Mengulas lanjut Anwar berkata ianya perlu melangkau sudut pandang sempit kononnya agenda ini hanya untuk kepentingan Bumiputera, justeru pertumbuhan baharu Bumiputera perlu dikenalpasti selain daripada pengumpulan data yang bersistematik.
“Usai mesyuarat, saya turut mengambil kesempatan untuk menyempurnakan Pra-Peluncuran KEB 2024. Kongres ini akan berlangsung pada hujung Februari 2024.
“Kerajaan Madani bertekad untuk memperkukuhkan agenda Bumiputera yang akan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat dan bukan hanya kumpulan tertentu sahaja,” katanya lagi.
Untuk mengikut saluran WhatsApp Anwar Ibrahim klik pada pautan di bawah: https://whatsapp.com/channel/0029VaJbBu79Bb61Q2kTAh1C
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
