Kerajaan Tak Laksana GST Kerana Pendapatan Rakyat Masih Rendah – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan pada 20 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 20 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan langkah kerajaan tidak melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini kerana nilai ambang pendapatan rakyat masih rendah dan belum mencapai tahap yang munasabah untuk melaksanakan sistem percukaian berkenaan.

Perdana Menteri berkata walaupun GST adalah sistem percukaian paling efisien dan telus, ketika ini kerajaan memilih untuk tidak melaksanakannya bagi mengelak beban berlebihan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Saya masih ingat ketika menjadi Menteri Kewangan dahulu, saya nyatakan di Parlimen bahawa GST adalah sistem percukaian yang efisien dan telus, namun saya terpaksa tangguhkan kerana pendapatan rakyat ketika itu terlalu rendah.

“Tapi sekarang, gaji RM1,700 (gaji minimum), RM2,000 masih ramai. Maka keputusan tidak laksana GST ini demi rakyat bawahan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Ketika ini negara melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilihat lebih longgar tetapi tidak membebankan rakyat kerana hanya dilakukan terhadap barangan mewah dan perkhidmatan kurang penting.

Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan dalam usaha meningkatkan hasil negara, Kerajaan MADANI mengambil pendekatan bersasar bagi mengurangkan beban rakyat terbanyak.

Pelarasan kadar dan peluasan skop SST ini tidak melibatkan barangan keperluan, dan turut memelihara kelangsungan sektor PMKS melalui pelbagai pengecualian serta ambang jualan yang lebih tinggi.

Hasil tambahan ini telah dimanfaatkan semula untuk rakyat — melalui peningkatan kadar bantuan tunai, dan penambahbaikan infrastruktur asas seperti pendidikan, kesihatan dan pengangkutan.

Sebelum ini beberapa pihak menggesa Putrajaya kembali melaksanakan GST kononnya telah terbukti menjana pendapatan negara tetapi telah menyebabkan beban tambahan kepada rakyat berikutan harga barangan dicukai dan naik malah kesannya terus dirasai sehingga kini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *