Lonjakan Daya Saing WCR 2025 Bukti Negara Berada Pada Landasan Tepat Perkasa Ekonomi MADANI

Peningkatan Indeks Daya Saing Negara dalam WCR 2025 membuktikan keberkesanan reformasi Ekonomi MADANI yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PENDAPAT, 20 Jun – Lonjakan besar diperolehi Malaysia sebanyak 11 anak tangga daripada tangga ke-34 ke kedudukan ke-23 dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 yang dikeluarkan Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) merupakan satu pencapaian membanggakan dan bukti nyata keberkesanan dasar reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Lonjakan ini juga merupakan pencapaian terbaik negara dalam tempoh lima tahun, memberi isyarat jelas bahawa keyakinan meningkat terhadap ekonomi Malaysia semakin kukuh di peringkat antarabangsa.

Penganalisis berpandangan peningkatan besar ini tidak hanya melihat Malaysia kembali mengatasi Thailand dan Korea Selatan, bahkan membuktikan potensi sebenar sebagai peneraju daya saing serantau.

“Ada beberapa aspek menarik boleh kita lihat daripada peningkatan daya saing negara seperti mana yang dikeluarkan badan yang berpangkalan di Switzerland itu.

“Kalau kita perhatikan dapatan yang dikeluarkan menunjukkan Malaysia berada pada landasan terbaik mengukuhkan ekonomi bukan hanya sebagai Pengerusi ASEAN, tetapi juga mendorong ekonomi negara serantau bergerak bersama-sama.

“Fokus utama kini adalah memperbaiki beberapa subsektor penarafan seperti perniagaan, pendidikan, pengurusan seperti yang digariskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI,” kata Abul Jais Ashfaq Ahmed.

Tambahnya, kenaikan ini turut memperlihatkan Malaysia sebagai negara mencatat peningkatan tertinggi bagi tahun ini, mengatasi Lithuania yang naik sembilan tangga (ke-21) dan Kanada yang mendaki lapan tangga (ke-11). turut memperlihat ketegasan kerajaan MADANI meneruskan amalan reformasi ekonomi mampan.

Tidak kita lupa akan pandangan pakar ekonomi, Prof Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali yang berkata, trend menurun pada WCR 2024 ketika itu ‘sangat jelas’ dan bertentangan dengan salah satu dari sasaran Ekonomi MADANI yang diumumkan pada 2023.

Tulis beliau, “Malaysia jatuh dari tangga ke-27 ke tangga ke-34 pada tahun lalu, kedudukan terendah Malaysia sejak 2010. Yang lebih merisaukan saya ialah trend jangka panjang yang jelas menggambarkan Malaysia dalam tren menurun atau lebih tepat jatuh merudum.”

Namun, selepas kedudukan Malaysia melonjak semula ke tangga ke-23 pada 2025 – lebih baik daripada kedudukan semasa era Muhyiddin – persoalannya, apakah pula yang akan diperkatakan pembangkang dan penganalisis ketika ini?

Di mana suara-suara mereka ketika negara menikmati kejayaan WCR 2025 setelah teruk dihentam kiri dan kanan ketika dapatan WCR 2024 dikeluarkan?

Sebenarnya yang mereka enggan akui dan fahami, peningkatan penarafan ini didorong oleh pelbagai inisiatif reformasi ekonomi yang berfokus kepada tadbir urus cekap, kecekapan perniagaan, pembangunan bakat serta infrastruktur teknologi dan fizikal yang mantap.

Ia turut mencerminkan kesungguhan kerajaan memperkukuh daya saing melalui pelaksanaan dasar fiskal yang berhemah, penambahbaikan persekitaran pelaburan serta keutamaan terhadap kebajikan rakyat.

Di bawah kerangka Ekonomi MADANI, penekanan terhadap nilai kemampanan, keterangkuman dan kesejahteraan telah meletakkan Malaysia di landasan ekonomi yang lebih progresif.

Kejayaan ini bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan hasil usaha kolektif pelbagai pihak dalam menstruktur semula ekonomi agar lebih mampan dan berdaya tahan.

Momentum positif ini harus diteruskan menerusi dasar-dasar menyeluruh dan konsisten, termasuk memperkukuh kecekapan pentadbiran, meningkatkan produktiviti sektor utama dan memastikan keseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Malaysia kini berada pada landasan yang tepat untuk terus maju sebagai sebuah negara ekonomi dinamik yang berdaya saing di peringkat global.

Namun tidak dilupakan, perkembangan yang melonjakkan nama negara ini bermakna kerajaan perlu bekerja lebih keras memastikan indeks daya negara ditingkatkan agar pelbagai bantuan sasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau mana-mana bantuan sosial dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *