Kerajaan Melaka Hormati Keputusan Akmal Lepas Jawatan Exco

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh melepaskan jawatan exco Melaka seperti diumumkan pada 15 Januari 2026.
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Kerajaan Melaka menghormati keputusan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh melepaskan jawatan exco negeri seperti diumumkan hari ini.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, beliau akan mempertimbangkan hasrat tersebut kerana ia terletak dalam bidang kuasa beliau sama ada menerima atau menolak permintaan berkenaan.
“Saya sebagai ketua (kerajaan) negeri akan menunggu surat secara rasmi untuk pertimbangkan sama ada saya menerima ataupun tidak menerima peletakan jawatan itu, tertakluk kepada perbincangan akan dibuat,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda Umno.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menghormati pendirian Akmal sebagai ketua Pemuda Umno dan akan meneliti kaedah terbaik menguruskan perkara itu dalam masa terdekat.
Terdahulu, Akmal ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco Melaka berkuat kuasa mulai minggu depan.
Ini berhubung kenyataannya pada konvensyen Pemuda awal bulan ini susulan cubaan ‘menghidupkan’ semula Muafakat Nasional 2.0 bersama Pas.

Katanya, meskipun beliau lantang menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama dengan DAP, tetapi tetap menghormati keputusan parti untuk kekal dalam kerajaan perpaduan.
Tegasnya, peletakan jawatan itu bukan kerana pangkat atau kedudukan, sebaliknya bagi mempertahankan suara akar umbi dan maruah politiknya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
