Kerajaan MADANI Tak Zalim, Tak Sekat Peruntukan – PM Anwar Jawab Samsuri

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menjelaskan dakwaan Menteri Besar Terengganu kononnya Kerajaan MADANI zalim namun sebaliknya menambah peruntukan kepada negeri itu pada Majlis Perjumpaan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Peruntukan Persekutuan yang disalurkan kepada Terengganu sebenarnya lebih tinggi di bawah Kerajaan MADANI berbanding kerajaan terdahulu yang dibentuk gabungan Pas dan BERSATU, dedah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, dalam pemberian belanja pembangunan untuk negeri ditadbir Pas dan BERSATU itu, sebanyak RM1.59 bilion disalurkan kepada Terengganu tahun ini berbanding RM1.55 bilion tahun lalu.

Katanya, royalti petroleum dibayar kepada Terengganu juga bertambah semasa pentadbiran Kerajaan MADANI berbanding ketika Pas dan BERSATU berada dalam Kerajaan Persekutuan yang menyaksikan RM399 juta dibayar pada 2022.

Justeru, tegas Anwar, tidak wujud istilah bahawa kerajaan pimpinannya bersifat zalim terhadap Terengganu memandangkan kerajaan telah melunaskan pemberian wang ihsan berdasarkan hasil petroleum 2023, iaitu sebanyak RM786 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menjelaskan dakwaan Menteri Besar Terengganu kononnya Kerajaan MADANI zalim namun sebaliknya menambah peruntukan kepada negeri itu pada Majlis Perjumpaan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Pemberian Persekutuan kepada Terengganu (selain wang ihsan) pada 2022 ialah RM399 juta, 2023 kita tambah menjadi RM413.64 juta dan 2024 ada tambahan lagi. Zalim macam mana?” soal Perdana Menteri.

Berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, di sini pada Khamis, Anwar berkata, beliau pernah memberi jawapan demikian pada sidang Parlimen dan ia kemudian diulang oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Tapi dia (pembangkang) kata zalim, macam-macam. Hakikatnya, pemberian Persekutuan kepada Terengganu di bawah Kerajaan Perpaduan lebih daripada masa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dulu,” katanya.

Terdahulu pada 5 Mac lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggesa Anwar memberi penjelasan berhubung tunggakan pembayaran wang royalti minyak Terengganu yang belum diterima untuk tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Ru Rendang merangkap Ahli Parlimen Kemaman itu mendakwa, tindakan melewatkan pembayaran wang royalti kepada kerajaan Terengganu adalah penindasan.

Pada 27 November 2023, Ahmad Samsuri dilapor berkata, kerajaan negeri pimpinannya hanya menerima RM510 juta royalti petroleum, berbanding anggaran royalti petroleum atau wang ihsan dalam Belanjawan 2023 berjumlah RM1.524 bilion.

Anwar menegaskan, kerajaan pimpinannya tidak pernah menahan atau menghentikan peruntukan kepada mana-mana negeri, termasuk negeri ditadbir pembangkang.

“Masa pembangkang puluhan tahun, tak ada peruntukan pun, termasuk masa UMNO, Pas, BERSATU perintah, saya tak dapat (peruntukan melalui Ahli Parlimen), tapi masa itu tak zalim, sekarang zalim?,” soalnya lagi.

Perdana Menteri berkata, beliau telah mengingatkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memastikan peruntukan setiap kawasan harus diberikan kepada semua, tidak kira Pas atau BERSATU.

“Cuma kita tak bagi melalui Ahli Parlimen, kita beri pada rakyat, kita tumpu kepada miskin. Kalau miskin tegar, tak kira dia ahli parti mana, kawasan mana, kita bantu tanpa pilihan, sama ada kaum, agama, kawasan atau parti,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Terengganu mempunyai jumlah rakyat miskin yang ramai dan kerajaan mengambil pendekatan menyalurkan terus peruntukan kepada mereka yang memerlukan tanpa melalui mana-mana Ahli Parlimen.

“Belanja pembangunan lebih daripada jumlah yang disebut sebagai wang ihsan itu, tetapi salurannya terus kepada projek rakyat. Kalau ada kecemasan atau yang mendesak, kita terus beri peruntukan untuk segerakan projek itu,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *