Kerajaan Akan Teruskan Perang Panjang Terhadap Rasuah, Kartel – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Program Temu Anwar di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Dewan Canselor UTP, Seri Iskandar pada 11 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
SERI ISKANDAR, 11 Okt – Komitmen kerajaan untuk terus membersihkan negara daripada rasuah, penyelewengan dan kegiatan kartel akan diteruskan susulan kejayaan penguatkuasaan tegas yang berjaya mengembalikan hasil negara mencecah RM15.5 bilion hanya dalam tempoh dua tahun, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, pencapaian setakat ini membuktikan ketegasan kerajaan memastikan tiada mana-mana pihak – termasuk individu berprofil tinggi – terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya terbabit dalam kegiatan yang merugikan negara.
“Kita berjaya merampas wang yang dicuri dan diseludup melalui kegiatan jenayah berjumlah RM15.5 bilion, ini baru dua tahun.

“Itu pun kerana saya tegas dan menegaskan kepada semua agensi penguat kuasa bahawa tiada kompromi terhadap rasuah, penyeludupan, sindiket dan kartel.
“Hapuskan mereka kerana mereka mencuri daripada rakyat,” katanya di program Temu Anwar bersama pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.
Menurut Anwar kerajaan mahu “membersihkan kekusutan” yang ada di negara ini dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

“Apa pun yang orang kata tidak akan menggugat saya, saya anggap itu adalah tanggungjawab kita,” katanya lagi.
Anwar turut menyampaikan syarahan awam bertajuk ‘Universiti Sebagai Aset Strategik: Merencana Masa Depan Malaysia melalui Bakat, Teknologi dan Transformasi’ pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar itu.
Untuk jamin masa depan
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk sindiket dan kartel yang menyelewengkan hasil negara.

Katanya prinsip keadilan dan integriti mesti ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau gelaran mana-mana individu.
“Kadangkala mereka bergelar Datuk, Datuk Seri, Tan Sri atau Tun… saya tidak peduli.
“Kamu boleh ada gelaran, tetapi jika mencuri, kita akan tangkap, bicarakan di mahkamah dan jika didapati bersalah, kamu akan ke penjara.

“Itulah prinsipnya, dan golongan muda mesti memahami serta menyokong perjuangan ini. Bolehkah saya percayakan kamu untuk mendukungnya?” kata perdana menteri disambut tepukan gemuruh hadirin.
Menurut Anwar, usaha memerangi rasuah dan memperkukuh tadbir urus berintegriti merupakan sebahagian daripada misi besar kerajaan bagi menjamin masa depan negara serta generasi muda memandangkan Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus maju.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
