Belanjawan 2026 Perkukuh Peranan MCMC Dalam Agenda Kesalinghubungan, Keterangkuman Digital

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 10 Oktober 2026 antara lain memberi amanah kepada MCMC melaksanakan tanggungjawab besar dalam ekosistem digital negara. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 11 Okt – Pelbagai inisiatif dan ikhtiar menerusi Belanjawan 2026 dipertanggungjawabkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi memastikan agenda kesaling hubungan negara terus memacu pertumbuhan digital dalam ekosistem terangkum sebagai medium penting dalam kejayaan sesebuah negara.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, suruhanjaya itu terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memperkukuh ekosistem komunikasi dan multimedia negara serta memastikan rakyat menikmati manfaat teknologi digital secara inklusif dan seimbang di seluruh Malaysia.

Agenda peluasan liputan jalur lebar negara terus diperkukuh melalui projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 ke 2,700 lokasi baharu khususnya di luar bandar dan pedalaman dengan peruntukan sebanyak RM780 juta.
Manakala inisiatif Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dengan peruntukan RM2 bilion melibatkan pembinaan kabel dasar laut sepanjang 3,190 kilometer dari Johor ke Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh kesalinghubungan dan capaian internet negara, juga diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Bagi meningkatkan sambungan internet di hospital awam dan klinik kesihatan di seluruh negara pula, sebanyak RM650 juta diperuntukkan bagi memperkukuh perkhidmatan tersebut kepada rakyat.
Tidak ketinggalan usaha pemerkasaan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) melibatkan 1,099 pusat komuniti itu, sejumlah RM350 juta disediakan sebagai hab latihan dan keusahawanan dalam usaha membantu usahawan desa menjana pendapatan.
MCMC juga akan membangunkan Sistem Amaran Awal (Early Warning System – EWS) bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dan melindungi rakyat dengan peruntukan RM210 juta.
MCMC juga akan membangunkan Sovereign AI Cloud dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion bagi memperkukuh kedaulatan data negara yang selamat dan beretika tanpa dicerobohi pihak luar.
“Inisiatif ini turut merangkumi penubuhan AI Transformation Centre bersama-sama Universiti Multimedia (MMU) serta Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI).
“MCMC juga menyokong pelaksanaan model dwirangkaian 5G bagi memastikan kedua-dua rangkaian mencapai liputan 80 peratus menjelang 2026, sekali gus menyediakan perkhidmatan Internet lebih pantas dan mampu milik untuk rakyat serta perniagaan,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, MCMC akan memperluas Kempen Internet Selamat (KIS) bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan penggunaan Internet beretika kepada seluruh lapisan masyarakat.
Kesemua inisiatif yang terkandung pada pembentangan Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen MCMC untuk memperkukuh kesalinghubungan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan komunikasi dan memastikan rakyat di seluruh negara menikmati manfaat pembangunan secara saksama.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



