Peruntukan RM34.81 Juta Perkasa Institusi Pondok, Tahfiz – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Kenduri Rakyat bersama warga Institusi Pendidikan Islam (Tahfiz/Pondok) Negeri Perak di Ipoh pada 11 Oktober 2025. Foto TV3
IPOH, 11 Okt – Usaha berterusan penambahbaikan kemudahan asas di sekolah pondok dan tahfiz di seluruh negara menerusi Belanjawan 2026 membuktikan Kerajaan MADANI terus komited memperkasa institusi utama pemacu pengembangan syiar Islam di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, peruntukan sebanyak RM34.81 juta telah diluluskan bagi tujuan pembaikan tandas, perpustakaan, makmal sains dan kemudahan lain bagi membolehkan sekolah beroperasi dengan selamat tahun ini, termasuk bagi institusi pondok.
Tegasnya, kerajaan juga menambah pelaksanaan Sekolah Angkat MADANI dengan sasaran sebanyak 1,500 sekolah dinaik taraf kemudahan dengan kerjasama sektor swasta di kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC).

“Sekarang ini kita senaraikan 137 pondok, termasuk lapan di Perak. Selepas Belanjawan semalam, fasa kedua akan diperluas di mana kita rancang untuk menambah lagi supaya kemudahan sampai ke semua sekolah.
“Kini kita ada lebih 1,000 sekolah angkat yang berada di bawah pemantauan syarikat Petronas, Maybank, Khazanah dan syarikat swasta yang akan turut membantu sekolah-sekolah agama dan tahfiz,” katanya ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat bersama warga Institusi Pendidikan Islam (Tahfiz/Pondok) Negeri Perak di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan komitmen kerajaan MADANI diperkukuh dalam pembangunan sekolah pondok menerusi program mentor dengan kerjasama pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Ekonomi.

“Saya mohon semua pihak berkepentingan bekerjasama untuk bangunkan sistem ini. Jangan terlalu terperangkap dalam politik. Tegurlah, kritiklah, beri cadangan. Kita mulakan dengan RM38 juta untuk memulihkan sekolah agama dan pondok. Kalau ada yang belum dapat bantuan, bersabarlah. Kita ikut keutamaan dan kemampuan.
“Tapi terima kenyataan, sejak 2003 peruntukan dibatalkan, 2022 saya pulihkan balik. Sekarang inilah dasar kerajaan negara kita,” ujarnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
