Keputusan Senat AS Lulus Had Siling Hutang Legakan Semua Pihak

Presiden Biden menandatangani kelulusan had siling hutang Amerika Syarikat sehingga 1 Jan 2025. Foto CNN.
WASHINGTON, 4 Jun – Keputusan Senat Amerika Syarikat (AS) pada Khamis meluluskan rang undang-undang (RUU) dwipartisan bagi menaikkan had siling hutang sebanyak AS$31.4 trilion (RM144.16 trilion) yang disokong Presiden Joe Biden, amat melegakan penganalisis politik antarabangsa.
Keputusan itu juga membolehkan AS mengelak berlakunya buat pertama kali kegagalan pembayaran hutang negara sebelum tarikh akhir 5 Jun.
RUU itu diluluskan menerusi undi belah bahagian di Dewan Perwakilan, masing-masing 63 bersetuju dengan usul berkenaan, manakala 36 lagi membantah.
Hutang AS mencapai hadnya pada Januari namun Jabatan Perbendaharaan telah mengambil langkah untuk memastikan negara itu dapat terus membayar bilnya.

Undian berkenaan dibuat selepas perbalahan antara Demokrat dan Republikan yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Menerusi RUU berkenaan, had berkanun bagi pinjaman Persekutuan akan digantung hingga 1 Januari 2025.
AS mengehadkan jumlah hutang yang boleh dibuat oleh kerajaan, tanpa mengira sebarang perbelanjaan diperuntukkan badan perundangan.
Jabatan Perbendaharaan sebelum ini, memberi amaran ia tidak mampu membayar semua bil pada 5 Jun ini, jika Kongres gagal bertindak ketika itu.
Mengulas perkara itu, Biden menerusi kenyataan media memuji tindakan Kongres yang disifatkan tepat pada masanya, selain menjelaskan akan memberi ulasan lanjut, hari ini.
“Ia adalah kemenangan besar terhadap ekonomi dan rakyat AS,” katanya sambil menambah beliau akan menandatangani dokumen berkenaan secepat mungkin.
– AGENSI
