Brahmos Aerospace Minat Untuk Bekerjasama Dengan Kerajaan Malaysia

Konsortium pertahanan kerjasama India-Russia itu menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia susulan berjaya mendapatkan kontrak pertahanan dari Filipina. Foto: Defence Security Asia.

LANGKAWI, 4 Jun – BrahMos Aerospace Pvt Ltd, syarikat usaha sama India-Rusia, berminat untuk menawarkan peluru berpandu supersonik kepada lebih banyak negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Pegawai BrahMos berkata syarikat itu, yang menghasilkan peluru berpandu supersonik yang mampu untuk dilancarkan dari kapal selam, kapal, pesawat atau dari kenderaan darat, sangat positif dan menyatakan minat untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia selepas ia mencapai perjanjian eksport dengan Filipina.

“Jadi sekarang kami dalam kedudukan untuk menawarkan dan kami ingin menawarkannya kepada negara seperti Indonesia, Malaysia dan Vietnam. Mana-mana negara berkenaan yang berminat boleh menghubungi kami.

“Dan kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia. Pegawai kanan yang melawat kami juga sangat menggalakkan, dan kami sedang melihat kaedah yang kami boleh berikan penyelesaian kepada tentera laut dan darat Malaysia, serta rakyat negara ini juga,” katanya.

Konsortium pertahanan kerjasama India-Russia itu menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia susulan berjaya mendapatkan kontrak pertahanan dari Filipina. Foto: Defence Security Asia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di reruai BrahMos pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’23) baru-baru ini.

Kontrak pertama untuk mengeksport peluru berpandu BrahMos bernilai US$375 juta ditandatangani di Filipina pada Januari tahun lepas dengan tiga bateri peluru berpandu supersonik BrahMos akan dihantar ke Manila dalam tempoh tiga tahun akan datang, di bawah kontrak itu.

“Banyak negara ASEAN telah mendekati kami … yang mahu menggunakan penyelesaian yang sama. Alasannya kerana peluru berpandu ini adalah yang terpantas dan paling berbahaya dalam kategorinya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kekuatan utama peluru berpandu supersonik BrahMos jarak 280km ialah peluru berpandu yang sama boleh digunakan oleh semua tentera.

“Jadi, berdasarkan reka bentuk peluru berpandu ini cenderung kepada operasi bersama. Ini bermakna anda tidak perlu membeli peluru berpandu berasingan untuk tentera darat, tentera laut, dan peluru berpandu yang sama dengan sedikit variasi boleh digunakan oleh tentera udara. Anda mempunyai kluster peluru berpandu yang sama,” katanya.

Menurutnya, peluru berpandu yang meluncur dengan kelajuan 2.8 Mach atau hampir tiga kali ganda kelajuan bunyi, sangat mudah untuk diselenggara dengan pemeriksaan diperlukan sekali dalam tiga tahun kerana peluru berpandu itu datang dalam bekas tertutup untuk sepanjang hayatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *