Keputusan Pemilihan KEADILAN Teruskan Reformasi Hadapi PRU-16

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan jawatan Presiden KEADILAN setelah menang tanpa bertanding pada Pemilihan KEADILAN 2025 di Johor Bahru pada 23 Mei 2025.Foto Facebook Mohamad Sabu
JOHOR BAHRU, 24 Mei – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mengetuai pasukan pimpinan parti baharu untuk meneruskan agenda reformasi partinya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Perdana Menteri diumum menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden KEADILAN iaitu bagi penggal ketiganya selepas menggalas tanggungjawab itu sejak 2018.
Mengikut perlembagaan KEADILAN, ini menjadi penggal terakhirnya sebagai teraju utama parti, memandangkan jawatan utama parti itu hanya dihadkan untuk dipegang maksimum selama tiga penggal.

Kini, misi Anwar meneruskan perjuangan reformasi parti serta dalam pentadbiran kerajaan diterajuinya akan turut dibantu barisan pemimpin partinya yang sebahagian besarnya adalah muka baru dan anak muda.
Selain bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang diumum menang jawatan Timbalan Presiden KEADILAN, turut membantunya nanti adalah empat Naib Presiden terpilih.
Mereka adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Beliau juga dijangka akan melantik beberapa lagi pemimpin untuk mengisi jawatan Naib Presiden (lantikan) termasuk seorang wakil pemimpin dari Sabah dan Sarawak.
Sumber pemimpin parti yang dihubungi turut memaklumkan penyandang Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Rafizi Ramli yang tewas dalam pemilihan kali ini turut dijangka diberi peranan penting dalam parti untuk memperkukuh sekali gus membuat persiapan rapi parti menghadapi PRU ke-16.
Pemilihan KEADILAN 2025 juga berlangsung dengan penuh tertib dan aman, tanpa sebarang pergaduhan fizikal seperti berlaku dalam pemilihan 2018 dan sebelumnya, sekaligus menunjukkan kematangan parti dalam menyerlahkan semangat demokrasinya.
Berikut adalah barisan penuh kepimpinan KEADILAN 2025-2028:

PRESIDEN
Datuk Seri Anwar Ibrahim
TIMBALAN PRESIDEN
Nurul Izzah Anwar
NAIB PRESIDEN
Datuk Seri Amirudin Shaari
Datuk Seri R Ramanan
Datuk Seri Aminuddin Harun
Chang Lih Kang
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT (MPP)
Datuk Fahmi Fadzil
Adam Adli Abdul Halim
Chang Ming Kai
G Gunarajah
Azlan Helmi
Dr Maszlee Malik
Goh Choon Aik
Nurin Aina
Elizabeth Wong Keat Ping
Abang Zulkifli Abang Engkeh
Siti Aishah Shaik Ismail
Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad @ Altimet
Akmal Nasrullah Mohd Nasir
Amidi Abdul Manan
Lee Chean Chung
Azam Karap
Syed Ibrahim Syed Noh
A Kumaresan
Sim Chon Siang
G Sivamalar
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

