Kepimpinan PM Anwar Berjaya Redakan Krisis Thailand-Kemboja, Kembali Ke Meja Rundingan

Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu antara Thailand dan Kemboja mendapat pujian dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menghargai usaha diplomatik Malaysia pada 28 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PENDAPAT, 31 Jul – Sudah beberapa hari sejak gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja berkuat kuasa, ketegangan mulai reda biarpun terjadi insiden kecil seperti desakan tentera yang ditawan, diserahkan semula di kawasan sempadan.

Pun begitu, tanpa kerjasama semua pihak tidak memungkinkan semua itu berlaku sejak pertempuran tercetus pada 24 Julai hinggalah membawa kepada panggilan telefon dari Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kedua-dua pemimpin berkenaan hari yang sama.

Paling penting, gencatan senjata antara kedua-dua negara jiran di utara ASEAN itu hanya berlaku selepas Anwar membuat panggilan telefon menyatakan usaha menghentikan serangan ketenteraan wajib dilaksanakan bagi membawa mereka ke meja rundingan.

Rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja dapat direalisasikan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menjadi perantara berkesan memulihkan hubungan kedua-dua negara di Putrajaya pada 28 Julai lalu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Dalam perbualan telefon dengan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Anwar menegaskan kepentingan memulihkan hubungan kedua-dua negara menerusi rundingan gencatan senjata serta menghentikan operasi ketenteraan di sempadan bagi mengelak lebih ramai rakyat meninggalkan kediaman yang lebih memburukkan keadaan.

Ketika membuat panggilan itu, Anwar hanya memfokuskan kepada penyelesaian berkaitan konflik Thailand dan Kemboja bagi memastikan rantau ASEAN kekal stabil dan aman.

“Saya buat panggilan (kepada) kedua-duanya (Perdana Menteri Kemboja dan Thailand) pada hari itu (24 Julai 2025) dan berlaku gencatan senjata.

Canselor Jerman, Friedrich Merz dan Presiden Perancis Emmanuel Macron memuji pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja. Foto X Friedrich Merz

“(Kedua-dua negara) memerlukan waktu untuk tentera (berundur), namun keesokannya berlaku lagi (konflik),” katanya pada pertemuan bersama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (Iswami) serta pemimpin redaksi (pemred@ketua-ketua pengarang) Indonesia di Jakarta beberapa hari lalu.

Anwar turut mengulas spekulasi kononnya gencatan senjata itu berlaku berikutan tekanan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkaitan isu tarif terhadap Kemboja dan Thailand.

Realitinya, Thailand dan Kemboja hanya bersetuju mengadakan gencatan senjata selepas pertemuan khas yang dipengerusikan Anwar di Putrajaya pada 28 Julai lepas, membuktikan kepimpinan Anwar disegani dan dihormati bukan sekadar Pengerusi ASEAN tetapi pencetus kepada perdamaian dua negara penting bagi keamanan rantau itu.

Anwar Ibrahim bersama Hun Manet dan Phumtham Wechayachai ketika hadir pada mesyuarat khas bagi rundingan peringkat tinggi untuk meredakan ketegangan antara kedua-dua negara di Putrajaya pada 28 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Dan hari ini ketika memulakan pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Anwar mendedahkan telah bercakap dengan Presiden Trump jam 6.50 pagi tadi dan mengucapkan penghargaan kepada Malaysia atas peranan sebagai perantara menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja di Putrajaya pada 28 Julai lalu.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pada jam 6.50 pagi tadi saya telah berpeluang bercakap dengan Presiden AS, Donald Trump.

“Beliau memulakan dengan menyatakan penghargaan kepada Malaysia telah memainkan peranan yang berkesan dan yang sebaiknya dalam menyelesaikan konflik Thailand dan Kemboja.

“Walaupun dalam respon saya menyatakan ini kerana kesepakatan ASEAN dan ini kerana sikap positif kedua-dua negara dan juga kerana kerjasama yang ditunjukkan oleh Amerika Syarikat, khususnya Presiden Trump dan juga Presiden Xi Jinping negara China,” jelasnya.

Kesediaan Presiden Trump untuk hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober depan juga menarik minat pemerhati politik sejak Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memberitahu kemungkinan Trump akan hadir awal bulan ini.

Ini membuktikan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 kini menjadi sebutan pelbagai negara seperti Australia, Jerman, Perancis, United Kingdom (UK), Qatar, Kesatuan Eropah (EU) dan China rentetan daripada kejayaan rundingan berkenaan.

Kenyataan Setiausaha Negara AS Marco Rubio yang dikeluarkan Jabatan Negara lewat malam 30 Julai 2025. Foto Facebook US Department of State

Presiden Indonesia Prabowo Subianto juga memuji pendekatan dan kepimpinan Anwar mententeramkan dua negara berjiran itu ketika mereka menghadiri Rundingan Tahunan ke-13 di Jakarta pada 29 Julai lalu.

Jika dilihat dari konteks politik, kejayaan ini secara tidak langsung pasti memberi isyarat kepada Presiden Trump bahawa sebarang konflik termasuk di Gaza dan Ukraine boleh diselesaikan jika mempunyai keazaman dan kecekalan menegaskan nyawa manusia lebih penting daripada segala-galanya.

Malah, Malaysia telah memperkukuh peranan utama dalam menggalakkan penyelesaian damai serta rundingan diplomatik dalam kalangan negara anggota sekali gus mengelak pertumpahan darah berlanjutan di kedua-dua pihak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 di Istana Merdeka, Jakarta pada 29 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Kejayaan ini menjadi teladan kepada masyarakat antarabangsa tentang bagaimana kepimpinan berteraskan nilai mampu membuahkan hasil yang besar sekiranya dapat diurus dengan berhemah, tenang dan fokus kepada jalan penyelesaian.

Justeru, kedudukan Malaysia yang menerajui pasukan pemantau dalam memastikan gencatan senjata dipatuhi, sewajarnya dilihat sebagai tindakan susulan termasuk gesaan Singapura yang menyokong sebarang langkah pematuhan gencatan dilaksanakan sehingga 4 Ogos ini.

Adalah diharapkan perdamaian berkekalan dapat direalisasikan bagi menyelesaikan isu garis sempadan 817 kilometer dalam masa terdekat seterusnya mewujudkan situasi ‘menang-menang’ bagi manfaat serantau sementara krisis di Myanmar sedang diusahakan.

– Abul Jais Ashfaq Ahmed merupakan penganalisis politik

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *