Inflasi Keseluruhan Terus Catat Penurunan Bagi Bulan Jun – BNM

Kadar inflasi keseluruhan Malaysia bagi bulan Jun 2025 turun kepada 1.1 peratus manakala inflasi teras kekal pada 1.8 peratus kata Bank Negara Malaysia. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Jul – Bank Negara Malaysia (BN) memaklumkan inflasi keseluruhan Malaysia terus menyusut kepada 1.1 peratus pada Jun 2025 daripada 1.2 peratus yang disaksikan pada Mei lalu, manakala inflasi teras kekal pada 1.8 peratus.

Menerusi satu kenyataan hari ini, bank pusat itu menjelaskan, penurunan dalam inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh inflasi yang lebih rendah dalam komponen bukan teras seperti makanan segar, diesel dan pengangkutan penumpang udara.

 

“Inflasi yang lebih tinggi dalam item teras terpilih seperti makanan di luar rumah dan perkhidmatan penstriman, sebahagian besarnya diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah untuk perkhidmatan komunikasi mudah alih dan konsol permainan video,” katanya.

Sementara itu, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat 5.2 peratus pada Jun 2025 (Mei 2025: 5.4 peratus), berikutan pertumbuhan yang mantap dalam pinjaman terkumpul iaitu sebanyak 5.5 peratus, manakala pertumbuhan bon korporat yang terkumpul menurun kepada 4.3 peratus pada Jun 2025 (Mei 2025: 4.7 peratus).

“Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul secara amnya stabil pada 4.5 peratus di tengah-tengah pertumbuhan yang berterusan dalam pinjaman untuk tujuan yang berkaitan dengan pelaburan, terutamanya di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pertumbuhan pinjaman isi rumah tetap kukuh pada enam peratus bagi Jun 2025 berikutan pengembangan berterusan dalam pinjaman merentasi pelbagai tujuan,” katanya.

BNM berkata, dengan ketidakpastian global, ringgit mengukuh sebanyak 0.5 peratus berbanding dolar AS, dengan kadar pertukaran efektif nominal (NEER) pada -0.2 peratus (purata serantau: 0.3 peratus), disokong oleh kelemahan berterusan dalam dolar AS.

Selain itu, bank pusat dan kerajaan akan terus menyelaraskan usaha untuk menggalakkan aliran pertukaran asing, katanya.

“FBM KLCI meningkat sebanyak 1.6 peratus (purata serantau: 1.5 peratus), sejajar dengan pergerakan pasaran ekuiti serantau, manakala hasil sekuriti kerajaan Malaysia 10 tahun menurun 5.0 mata asas (bps) (purata serantau: -11.5 bps),” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *