‘Kenapa Gantung? Pecat Sajalah!’ – Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee dikenakan tindakan kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli pada 10 Mac 2026. Foto Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee menegaskan beliau tidak akan membuat rayuan selepas Lembaga Disiplin parti itu menggantung keahliannya selamat dua penggal, berkuat kuasa hari ini.

Menurut notis penggantungan yang dikongsikan Ronald, beliau dikenakan tindakan kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

“Mengapa sekadar digantung? Jika benar bersalah, pecat saja. Saya sudah menganjurkan program RESET dan juga hadir bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) di Bangkok.

Surat penggantungan dua penggal ke atas Ronald Kiandee daripada Bersatu pada 10 Mac 2026.

“Jika benar itu adalah satu kesalahan besar, mengapa tidak dipecat?” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata, keputusan yang diambil terhadapnya hanya menguatkan lagi tanggapan bahawa Lembaga Disiplin parti kini digunakan untuk melindungi presiden, Muhyiddin Yassin dan kelompok kecil di sekeliling kepimpinan tertinggi parti.

“Apatah lagi lembaga ini dipengerusikan oleh individu yang mempunyai hubungan keluarga dengan kepimpinan tertinggi parti,” katanya.

Ronald turut mendakwa hala tuju parti sejak dua tahun kebelakangan ini semakin tersasar apabila segala tindakan dilihat tertumpu kepada usaha mengangkat Muhyiddin sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri ke-11.

Menurutnya, sesiapa yang dilihat berpotensi menjadi penghalang kepada agenda itu akan disingkirkan, dengan Lembaga Disiplin didakwa menjadi mekanisme utama bagi melaksanakan tindakan berkenaan.

Beliau turut mendakwa tindakan sama pernah dikenakan terhadap beberapa pemimpin parti sebelum ini, termasuk Hamzah.

“Yang tinggal akhirnya hanyalah mereka yang sentiasa berkata ‘ya’ kepada presiden,” katanya.

Ronald juga mendakwa kewujudan kelompok yang disifatkannya sebagai ‘puak ya-presiden’ dalam parti itu berpunca daripada beberapa faktor, termasuk pelantikan oleh presiden, kekalahan dalam pemilihan tetapi diberikan jawatan oleh presiden, serta janji watikah pencalonan dalam pilihan raya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kesetiaan kepada presiden menjadi keutamaan dalam kalangan sebahagian pemimpin parti.

“Saya menyertai parti ini dulu kerana percaya ia adalah wadah perjuangan, bukan alat untuk memenuhi cita-cita politik individu.

“Namun apa yang kita lihat hari ini amat jauh daripada semangat tersebut. Saya tidak akan merayu. Anggap saja tempoh rayuan ini sudah tamat,” katanya.

Dalam notis berkenaan, Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Mohd Radzi Manan memaklumkan, tindakan terhadap Ronald itu dibuat selepas pihak lembaga disiplin bermesyuarat semalam dan memutuskan beliau digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5.

Mohd Radzi berkata, segala jawatan yang dipegang Ronald dilucutkan dan beliau tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.

“Ronald boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *