Hujan Lebat Sejak Pagi Cetus Banjir Kilat Di Kuching

Keadaan banjir di Sekolah Teknik Batu Lintang, Kuching pada pagi 10 Mac 2026.

KUCHING, 10 Mac – Hujan lebat berterusan sejak jam 6.30 pagi mencetuskan banjir kilat di beberapa penempatan di bandar raya ini, hari ini.

Antara kawasan terjejas, Kampung Sinar Budi Baru, Desa Wira di Batu Kawa apabila air mula memasuki rumah penduduk pada jam 10 pagi.

Turut terjejas, kawasan Petra Jaya khususnya di Kampung Gersik, Siol Kandis, Jalan Pustaka dan Jalan Masjid Jamek.

Keadaan banjir melanda SMK Jalan Arang, Kuching pada 10 Mac 2026. Foto SMK Jalan Arang

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kawasan Semariang Batu, Jalan Bentara dan Jalan Astana juga di Petra Jaya turut terjejas.

“Banjir kilat ini berlaku akibat limpahan air parit manakala paras air Sungai Sarawak berada pada tahap normal.

“Pemantauan di Jalan Simpang Tiga dan Kampung Tabuan Dayak, di sini, mendapati beberapa kediaman turut terjejas namun keadaan masih terkawal,” katanya.

Pemantauan di kawasan Lundu sejak jam 9.30 pagi pula mendapati trend air menaik namun terkawal.

Antara lokasi pemantauan di Lundu ialah penempatan berisiko iaitu Kampung Sebako, Kampung Sebat Dayak dan Kampung Pasir Tengah.

Bagaimanapun katanya, tiada pemindahan penduduk dilakukan setakat jam 11.30 pagi dan pemantauan diteruskan berikutan keadaan cuaca masih buruk.

  • Oleh Mohd Roji Kawi

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *