Kena Kecam, Pasaraya Giant Tampil Mohon Maaf

Pasaraya Giant Malaysia bertindak segera menurunkan harga beras RM35 daripada RM55 setelah menerima kecaman warganet yang berang dengan tindakan pasaraya berkenaan.
KUALA LUMPUR, 4 Sep – Ekoran menerima kecaman daripada warganet, sebuah pasaraya bertindak segera sebelum dikenakan apa-apa tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Giant Malaysia mengemukakan permohonan maaf berhubung isu harga promosi beras yang didakwa berlaku kenaikan sehingga tular di media sosial hari ini.
Berikutan itu, pasar raya terkemuka itu sudah menurunkan harga berkuat kuasa serta-merta iaitu harga beras daripada RM55.90 diturunkan kepada RM35 untuk menyamai harga promosi berkenaan.
“Kepada semua pelanggan setia Giant dan seluruh rakyat Malaysia, kami sedar akan siaran-siaran tular di media sosial mengenai harga jenama beras tertentu di kedai kami.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kerana membawa perkara ini kepada perhatian kami dan memohon maaf atas kekeliruan serta kekecewaan yang berlaku,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
Pengguna media sosial sejak semalam kecoh dengan kenaikan harga beras di sebuah pasar raya khususnya apabila penggunaan MyKasih dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat.
Pasar raya itu juga turut mengemukakan alasan mengenai harga promosi itu dengan mengatakan, ia berpunca daripada promosi oleh pembekal tidak disampaikan dengan baik kepada pasukan Giant akibat masalah dalaman.
Rata-rata warganet mengecam tindakan pasaraya itu yang seolah-olah ‘mengambil kesempatan’ daripada bantuan kerajaan menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda daripada harga biasa, walaupun sebelum promosi diadakan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


