‘Kematian Navalny Tragedi Dahsyat’ Dalam Sejarah Russia

Gambar fail pemimpin pembangkang Russia, Alexei Navalny dengan ditemani isterinya, Yulia berucap di depan penyokongnya di stesen keretapi Moscow pada 20 Julai 2023. Foto Reuters
WASHINGTON, 17 Feb – Rumah Putih menyifatkan kematian pemimpin pembangkang Russia, Alexy Navalny hari ini ketika sedang menjalani hukuman penjara, sekiranya benar adalah `tragedi yang dahsyat’.
Penasihat Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih, Jake Sullivan berkata insiden itu menimbulkan persoalan, apatah lagi melihat kepada sejarah Kremlin yang panjang dan menjijikkan dalam menumpaskan lawannya.
“Insiden itu menimbulkan pertanyaan yang jelas mengenai apa sebenarnya berlaku,” katanya kepada NPR.
Perkhidmatan penjara Russia mengesahkan ketua pembangkang Russia, Alexei Navalny, meninggal di penjara Arkitik hari ini ketika sedang menjalani hukuman selama 19 tahun.
Menurut perkhidmatan itu, Navalny rebah selepas berjalan di kawasan penjara sebelum disahkan mati.
“Navalny berasa tidak sedap badan ketika berjalan, sebelum rebah. Pasukan perubatan kemudiannya tiba bersama ambulans.

“Usaha menyelamatkannya dilakukan pasukan perubatan namun gagal sebelum beliau disahkan meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Jawatankuasa Siasatan Russia mengumumkan mereka membuka kertas siasatan ke atas kematian Navalny.
Setiausaha Akhbar Navalny, Kira Yarmysh pula mendakwa pihaknya tidak dimaklumkan mengenai pemergian ketua pembangkang itu.
“Peguam Navalny kini dalam perjalanan ke penjara di Kharp,” katanya melalui media sosial.
Agensi berita Russia sebelum ini melaporkan Presiden Vladimir Putin sudah diberitahu mengenai kematian Navalny.
Navalny, 47 tahun, pemimpin pembangkang terkenal Russia, memilki ramai pengikut dengan kritikannya terhadap rasuah di bawah pemerintahan Vladimir Putin.
Sebelum ini, pendedahan beliau itu yang dipaparkan di salurannya di YouTube, mendapat jutaan tontonan sehingga membawa puluhan ribu rakyat Russia ke jalanan, walaupun dengan adanya undang-undang anti protes yang tegas di negara itu.
Beliau dipenjarakan pada awal 2021 selepas pulang ke Russia dari Jerman, selepas pulih daripada serangan racun Novichok, sejenis racun saraf era Soviet yang hampir meragut nyawanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
