Kejayaan Malaysia Mudah Cara Gencatan Senjata Thailand-Kemboja Terima Pujian Trump – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sambutan Karnival Mega Tiga Dimensi yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Kejayaan Malaysia dalam memudah cara perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand sebagai satu tugas yang hebat, menerima pujian Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapannya ketika merasmikan Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di sini, hari ini, Perdana Menteri mendedahkan, menerusi perbualan telefon dengan Trump pada Khamis lalu, beliau memuji keupayaan Malaysia membawa Thailand dan Kemboja sepakat untuk mencapai gencatan senjata ke arah menyelesaikan konflik antara dua negara itu.

“Antara perkara pertama disebut Trump, ‘Prime Minister Anwar, fantastic work’ (Perdana Menteri Anwar, tugas yang hebat). Beliau guna istilah ‘fantastic‘ tiga kali iaitu kejayaan kita membawa Thailand dan Kemboja untuk berpakat serta mencapai gencatan senjata, keamanan yang sukar diperoleh di mana-mana tempat lain.
“Cubaan pertama, kurang berjaya. Presiden Trump telefon negara China dan cuba, ada kejayaan sedikit. Maka, Malaysia, Kementerian Luar, Panglima Angkatan Tentera, semua berusaha, setuju Perdana Menteri Thailand dan Kemboja datang, dan dalam tempoh dua jam setengah, tercapai.

“Nama Malaysia harum di dunia, dari Washington ke London, ASEAN, orang bicara mengenai kejayaan Malaysia menyatukan ASEAN dan mencapai perdamaian,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Terdahulu, Thailand dan Kemboja pada Isnin mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.
Persetujuan itu dicapai pada mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Anwar bertindak sebagai hos selaku Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah itu.

Duta Besar AS Edward D. Kagan dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing pula bertindak selaku saksi rundingan tersebut.
Manakala satu lagi mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara Thailand-Kemboja dijadualkan berlangsung di sini Selasa ini, susulan permintaan Bangkok supaya mesyuarat GBC seterusnya diadakan di Kuala Lumpur dan bukan di Phnom Penh, Kemboja seperti dijadualkan sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, beliau masih berhubung hampir setiap hari dengan pemimpin negara berkenaan dan malam tadi, rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet menghubunginya berhubung mesyuarat itu.
“Beliau berkata terima kasih dan tiada lagi pertelingkahan (antara negara) tetapi beliau minta tolong, Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja hendak datang berunding di Kuala Lumpur mulai hari Isnin ini untuk mencerakinkan beberapa perkara secara terperinci mengenai keamanan di Kemboja dan Thailand.

“Di mana mesyuaratnya? Di Kuala Lumpur. Siapa yang selaraskan? Malaysia dan ini kemajuan kita.
“Jika negara ini porak peranda, hari-hari ada tuntutan dan pergaduhan, siapa yang nak datang?” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
