AGC Perjelas Permohonan PM Tidak Babit Kekebalan Mutlak

AGC menjelaskan permohonan tersebut dibuat mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, membabitkan isu baharu dan belum pernah diputuskan. Foto Arkib

PENDAPAT, 1 Jun – Tiada putar belit seperti pembangkang, tiada lagi wujud kebimbangan.

Ini setelah Jabatan Peguam Negara (AGC) tampil menjelaskan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk beberapa persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan tidak bertujuan memberikan kekebalan mutlak kepada mana-mana individu.

Menurut kenyataan itu, AGC menjelaskan permohonan Perdana Menteri itu dibuat mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, membabitkan isu baharu dan belum pernah diputuskan, khususnya berkaitan litigasi sivil serta keupayaan seorang perdana menteri menjalankan fungsi eksekutifnya secara berkesan.

“Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada tindakan sivil berhubung perbuatan sebelum memegang jawatan boleh diteruskan sekiranya ia menjejaskan keupayaan perdana menteri untuk mentadbir.

Kenyataan media Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikeluarkan pada 31 Mei 2025. Foto AGC

“Soalan lain termasuk sama ada Perlembagaan secara implikasi memerlukan semakan ambang kehakiman dalam kes seperti itu, serta kesan peruntukan dalam Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan dalam melindungi prinsip pengasingan kuasa dan kestabilan institusi negara,” menurut AGC dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Malah ia turut ditegaskan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bahawa Perdana Menteri tidak mendapatkan kekebalan undang-undang daripada tindakan sivil berkaitan permohonan berkenaan.

“Permohonan yang dikemukakan termasuk pandangan melibatkan kedudukan seorang Perdana Menteri dalam tindakan sivil atas dakwaan yang berlaku sebelum pelantikannya ke jawatan itu.

Kenyataan media Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikeluarkan pada 31 Mei 2025. Foto AGC

“Tiada permintaan untuk kekebalan mutlak. Apa yang dimohon ialah penjelasan sama ada tindakan sivil seperti ini boleh menjejaskan kecekapan Perdana Menteri dalam melaksanakan tugas rasmi,” katanya.

“Ini adalah satu pertimbangan yang wajar dan sah untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, institusi kehakiman tertinggi negara yang mempunyai bidang kuasa untuk mentafsir Perlembagaan secara adil dan objektif,” ujarnya.

Tambahnya, mahkamah seharusnya menentukan apakah saman tersebut boleh menjejaskan Anwar sebagai ketua kerajaan kerana sebelum ini pihak Perdana Menteri telah menyatakan tuduhan yang dibuat ke atasnya merupakan rekayasa dan beliau menjadi mangsa ‘sabotaj reputasi bermotifkan politik’.

“Perdana Menteri bukan berada di atas undang-undang, tetapi beliau juga tidak harus dijadikan sasaran tindakan perundangan bermotif politik yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.

Shamsul Iskandar menjelaskan Perdana Menteri bukan berada di atas undang-undang, tetapi beliau juga tidak harus dijadikan sasaran tindakan perundangan bermotif politik yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.

“Seandainya dakwaan ini benar (sabotaj reputasi), sistem kehakiman kita berfungsi dengan telus dan bebas untuk mendengar serta membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang, bukan persepsi dan tekanan media.

“Saya menyeru semua pihak agar menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak menyalahguna ruang undang-undang demi membina naratif politik.

“Serahkan kepada mahkamah untuk menilai. Negara ini telah melalui terlalu banyak episod manipulasi perundangan demi kepentingan politik. Segala pertikaian wajar diselesaikan melalui saluran perundangan, bukan dengan manipulasi emosi rakyat,” katanya lagi.

Persoalan ini timbul apabila Perdana Menteri memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan bekas penyelidiknya Muhammad Yusoff Rawther, empat tahun lalu.

Anwar turut memohon mahkamah mempertimbangkan sama ada saman itu menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas sebagai ketua eksekutif negara, selain melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin Perlembagaan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *