Keadaan Di Gaza Satu Malapetaka Besar, Israel Masih Sekat Bantuan – PBB

Penduduk Palestin memeriksa kawasan serangan Israel terhadap sebuah rumah, di Jabalia, utara Semenanjung Gaza. Foto Reuters
GAZA, 31 Mei – Semenanjung Gaza kini berada di tahap paling kritikal sejak perang antara Israel dan Hamas bermula 19 bulan lalu, menanti malapetaka besar akibat sekatan bantuan makanan serta perubatan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, keadaan di Gaza semakin buruk walaupun penghantaran bantuan terhad sudah disambung semula di wilayah Palestin yang sedang diancam kebuluran.
Sebelum ini, Israel menamatkan sekatan selama 11 minggu ke atas Gaza selepas menerima tekanan global yang semakin meningkat dan membenarkan operasi terhad diketuai PBB untuk disambung semula.
Isnin lalu, satu saluran baharu yang kontroversi untuk pengedaran bantuan dilancarkan iaitu Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata, sebarang bantuan yang sampai ke tangan mereka yang memerlukannya adalah sesuatu yang baik, namun pemeriksaan ketat Israel masih menafikan hak itu.
Namun katanya, setakat ini penghantaran bantuan yang dibuat secara keseluruhan hanya memberi kesan yang sangat kecil di Gaza.
“Keadaan di Gaza kini adalah yang paling buruk sejak perang bermula, di mana bantuan sudah ada tapi disekat daripada sampai ke tangan penduduk,” katanya.
PBB dan kumpulan bantuan antarabangsa enggan bekerjasama dengan GHF kerana mendakwa ia tidak berkecuali dan mempunyai model pengedaran yang berselindung di bawah muslihat memaksa pemindahan penduduk Palestin.
Israel bagaimanapun mahu PBB bekerjasama melalui GHF, yang menggunakan syarikat keselamatan dan logistik swasta dari AS untuk mengangkut bantuan ke Gaza bagi diagihkan oleh pasukan awam di lokasi pengedaran yang digelar ‘selamat’.

Duta Israel ke PBB Danny Danon berkata, Israel akan membenarkan penghantaran bantuan untuk masa terdekat melalui operasi PBB dan juga GHF.
Semalam, GHF berkata, mereka berjaya mengagihkan lebih daripada 2.1 juta hidangan setakat ini.
PBB menyatakan bahawa dalam tempoh 12 hari lalu, mereka hanya berjaya mengangkut kira-kira 200 buah lori bantuan ke Gaza, yang terhalang akibat pemeriksaan dan sekatan akses oleh tentera Israel.
PBB juga menyatakan beberapa lori dan gudang Program Makanan Sedunia diserbu oleh penduduk yang terdesak dan kelaparan.
Pegawai PBB turut mengkritik sekatan Israel terhadap jenis bantuan yang dibenarkan.
“Pihak berkuasa Israel tidak membenarkan kami membawa masuk walau satu hidangan sedia dimakan.
Jurucakap hal ehwal kemanusiaan PBB, Eri Kaneko berkata, satu-satunya makanan yang dibenarkan ialah tepung untuk kedai roti.
“Sekalipun dibenarkan membawa tepung tanpa had, namun ia tetap tidak mencukupi sebagai diet lengkap,” katanya.
Israel mengenakan proses penghantaran yang rumit dengan memeriksa dan meluluskan penghantaran bantuan sebelum di bawa ke pihak Palestin di lintasan Kerem Shalom.
Di situ, bantuan akan dipindahkan ke lori lain untuk dihantar ke gudang di Gaza.
Ratusan lori bantuan kini sedang menunggu untuk diambil oleh PBB di Kerem Shalom.
“Lebih banyak bantuan sebenarnya boleh sampai kepada orang ramai jika anda mengutip bantuan yang sedang menunggu di lintasan itu,” kata COGAT, agensi penyelarasan bantuan tentera Israel, kepada PBB dalam satu hantaran di X, semalam.
Namun, PBB berkata tentera Israel menolak semua permintaan mereka untuk mendapat akses ke Kerem Shalom bagi mengambil bantuan itu.
Khamis lalu, apabila 65 buah lori bantuan berjaya keluar dari lintasan, hanya lima yang tidak berpatah balik akibat pertempuran sengit.
“Lima lori bantuan perubatan berjaya sampai ke gudang hospital lapangan, namun sekumpulan individu bersenjata menyerbu gudang itu.
“Mereka merompak sejumlah besar peralatan perubatan, bekalan, ubat-ubatan dan suplemen pemakanan yang sepatutnya untuk kanak-kanak kurang zat,” kata Dujarric. — REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


