KEADILAN Pulau Pinang Ikut Pendirian Pusat Tidak Bubar DUN

GEORGETOWN, 11 Okt – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Pulau Pinang kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejajar keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Pengerusi KEADILAN Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, beliau mengakui keputusan itu mempunyai kebaikan dan keburukan dalam beberapa aspek namun perbincangan mengenainya telah diputuskan pada peringkat pusat.

“Semalam saya menghadiri mesyuarat khas KEADILAN di Petaling Jaya dan memang Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata tidak bubar jadi pendirian KEADILAN Pulau Pinang sama dengan pendirian peringkat nasional.

“Ya, ia ada ‘pro dan kontra’ tapi keputusan akhir kita ikut pusat. Memang kata bazir masa apa semua tapi kita perlu hormat keputusan yang dibuat pusat untuk tidak bubar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat PH Pulau Pinang di Wisma DAP di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Bakhtiar menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeon bagi membincangkan keputusan pembubaran DUN Pulau Pinang.


Namun, maklumat lanjut dan hasil perbincangan mesyuarat secara tertutup yang berlangsung lebih satu jam itu tidak didedahkan kepada media.

Beliau ketika ditanya sama ada akan mempertahankan kerusi Parlimen Balik Pulau berkata perkara itu akan ditentukan pucuk pimpinan parti.

“Saya tidak tahu dan saya serahkan kepada parti untuk tentukan saya akan bertanding di Parlimen mana.

“Apa keputusan parti saya ikut dan saya adalah ‘orang parti’,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, senarai calon KEADILAN Pulau Pinang yang bakal bertanding di kerusi Parlimen hampir dimuktamadkan terdiri daripada empat kawasan iaitu Balik Pulau, Bayan Baru, Permatang Pauh dan Nibong Tebal.

“Kita sudah hampir memuktamadkan calon dan ia membabitkan calon Parlimen sahaja. Saya rasa Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Rafizi Ramli sudah sediakan semua dan keputusan akhir akan dibuat oleh presiden,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *