Belanjawan 2023, Belanjawan ‘Kayangan’

PENDAPAT, 11 Okt – Bulan Oktober tahun ini datang dengan pelbagai bencana dan musibah. Musim monsun timur laut sudah pun bermula dan situasi banjir bakal mengganas di hampir 70 peratus daerah dan negeri.
Oktober juga merupakan permulaan semester baharu bagi kemasukan pelajar-pelajar di institutsi pengajian tinggi, di mana ibu bapa pelajar mengalami bebanan kewangan yang tinggi, akibat kenaikan harga barang di hampir semua sektor ekonomi termasuk perindustrian.
Segala lumrah kehidupan, disebabkan oleh ekonomi Malaysia yang kurang memberangsangkan, malah semakin jauh ketinggalan berbanding negara-negara ASEAN.
KENAIKAN KADAR OPR
Belanjawan 2023 sebenarnya merupakan berita buruk untuk rakyat Malaysia. Sebulan sebelum pengumuman, ‘precursor’ berita buruk telah pun bermula, dengan kenaikan OPR. Akibat berita kenaikan OPR, inflasi naik secara berterusan pada kadar membimbangkan. Bank Negara juga baru-baru ini telah mengumumkan akan ada kenaikan OPR buat kali keempat tidak lama lagi. Walaupun nampak seperti OPR Malaysia hanya memberi kesan kepada pemimjan bank, tetapi ia telah memberi impak kepada keseluruhan komponen dalam sistem ekonomi negara seperti kadar pengangguran terus tinggi dan kenaikan harga barangan.
KEMEROSOTAN NILAI RINGGIT MALAYSIA
Ditambah pula dengan kadar penyusustan nilai Ringgit Malaysia yang setiap hari memecah rekod tertinggi, terakhir disemak pada RM4.65 bagi satu Dolar Amerika, meletakkan hutang asing Malaysia dalam denominasi asing pada keadaan sangat tidak menentu. Pada masa sama, MOF meningkatkan kempen sosial media dan TikTok kononnya untuk meyakinkan rakyat bahawa ekonomi Malaysia masih dalam keadaan yang kukuh. Apa yang berlaku apabila nilai RM terus menurun? Inflasi yang lebih teruk terus dijangka sehingga pertengahan tahun depan.
INFLASI MAKIN TIDAK TERKAWAL

Satu ketika dahulu, Malaysia mempunyai industri pertanian yang kukuh. Hari ini, Malaysia terpaksa mengimport makanan yang sangat tinggi, justeru kos makanan untuk kebanyakan rakyat di Malaysia dijangka akan terus meningkat. Ketiadaan rancangan rapi untuk mengawal peningkatan harga makanan asas, secara tidak langsung akan meningkatkan harga keperluan asas di pasaran. Malaysia berada di ambang krisis makanan yang serius, tanpa kita sedari. Harga makin mahal seiring dengan kejatuhan ringgit yang terus menekan kehidupan rakyat.
HUTANG KERAJAAN TERUS MENINGKAT
Lebih menakutkan, apabila pada 6 Oktober 2022, menurut laporan The Edge Market, PAC menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan hutang kerajaan persekutuan sebanyak RM100 bilion dari 2020 hingga 2021. Ini justeru telah meningkatkan jumlah hutang negara hamper RM 1 trillion. Penjelasan daripada Ketua Jabatan Perangkaan, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid yang berkata, kenaikan mendadak itu, dijustifikasi dengan pembiayaian aktiviti menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi. Tetapi usaha MPN yang dipengerusikan bekas perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak mampu memulihkan negara, sepertimana beliau gagal sebagai perdana Menteri.
BELANJAWAN 2023, BELANJAWAN KAYANGAN
Malaysia dikejutkan dengan belanjawan Kerajaan 2023 berjumlah RM372.3 Bilion, di mana pendapatan negara hanya RM272 bilion. Ini bermaksud, RM100 bilion terpaksa dipinjam dan hutang akan dibayar oleh generasi-generasi akan datang. Perbelanjaan untuk setahun akan dibayar dalam dua atautiga generasi. (Ini tidak termasuk dengan RM100 billion yang dibelanja dalam belanjawan tahun lepas). Bantuan, program merancakkan ekonomi, sumbangan hanya memanfaatkan sesetengah golongan untuk satu-satu masa sahaja. Tambahan pula 44% perbelanjaan daripada keseluruhan belanjawan, telah dibelanja ke atas gaji dan pencen penjawat awam. Belanjawan ala-kayangan ini tidak menampilkan pelan meningkatkan ekonomi dan pendapatan negara. Negara berada dalam keadaan mode ‘fire fighting’ (memadam api). Mungkin Kementerian Kewangan sengaja tidak mengungkit keadaan kewangan GLC yang rugi berbilion. Mungkin mereka juga lupa, pendapatan negara datang daripada kutipan cukai hasil titik peluh rakyat dan sektor ekonomi swasta negara. Mungkin mereka belum sedar, bahawa sebenarnya tidak adanya durian runtuh. Mungkin, mereka langsung tidak memahami ekonomi.
Mereka pelabur asing lebih praktikal memahami keadaan sebenar di Malaysia dan rela menunggu masa yang sesuai untuk melihat sebuah kerajaan yang berwibawa. Keadaan politik Malaysia yang tidak terkawal tidak membantu pengukuhan ringgit, sebaliknya, hari ini berada tahap yang tidak pernah dilihat dalam sejarah Malaysia selama lebih 24 tahun.
Kegawatan ekonomi 1998 mencipta sejarah untuk pergerakan reformasi. Krisis ekonomi hari ini, juga boleh membawa pembaharuan tetapi ke arah yang lebih baik.
Namun, dengan pembubaran parlimen ke-14 yang dilakukan secara mengejut sebelum Belanjawan 2023 diluluskan benar-benar membuatkan rakyat terasa dipermainkan perdana menteri.
Kalau Umno sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, mereka seharusnya tidak mempermainkan perasaan rakyat yang kecewa dengan pembubaran parlimen tatkala berdepan dengan musim tengkujuh yang mula melanda serta pelabur asing semakin menjauhi negara.
Apapun, membujur lalu, melintang patah – lawan tetap lawan di PRU15.
Untuk kesekian kali, rakyat tetap bersama Pakatan HARAPAN.
