PRU-15 – Pelabur Asing Terus Jual Pegangan Saham Tempatan

KUALA LUMPUR 14 JUN 2022. Petunjuk Pasaran FTSE Bursa Malaysia pada 9.15 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.41 mata kepada 1,455.42 daripada 1,464.83 pada akhir dagangan semalam. di RHB Bank. STR/HAZREEN MOHAMAD
KUALA LUMPUR, 11 Okt – Pelabur asing terus kekal sebagai penjual bersih minggu lalu, menyaksikan aliran keluar dana asing bersih daripada Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut bernilai RM336.9 juta berbanding pengeluaran RM740.6 juta pada minggu sebelumnya.
Menurut MIDF Research, satu-satunya hari pasaran yang menyaksikan aliran masuk bersih daripada pelabur asing ialah pada hari Selasa merekodkan sebanyak RM59.64 juta selepas mencatat jualan bersih selama 14 hari dagangan berturut-turut.
“Bagaimanapun, aliran jualan bersih berterusan lagi pada hari Rabu sehingga Jumaat,” katanya dalam satu nota, hari ini.
Sebahagian besar aliran keluar bersih asing adalah pada hari Jumaat dengan nilai RM143.36 juta dan Isnin pada RM112.42 juta, katanya.
Sementara itu, firma penyelidikan itu menyatakan pelabur asing turut melupuskan sebanyak RM68.05 juta dan RM72.71 juta, masing-masing pada Rabu dan Khamis.
“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran keluar bersih oleh pelabur asing minggu lalu ialah perkhidmatan kewangan RM310.8 juta, teknologi RM52.7 juta dan produk dan perkhidmatan pengguna RM42.1 juta.
“Tiga sektor teratas ialah pembinaan RM117.8 juta, telekomunikasi dan media RM32.5 juta dan tenaga RM27 juta,” katanya.
Institusi tempatan adalah pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut dengan belian bersih sebanyak RM413.47 juta minggu lalu, dan mereka juga merupakan pembeli bersih setiap hari urus niaga kecuali pada hari Selasa yang menyaksikan mereka menjual mencecah nilai RM33.04 juta.
“Minggu urus niaga menyaksikan belian bersih secara konsisten melebihi paras RM100 juta, dengan jumlah tertinggi direkodkan pada Jumaat bernilai RM137.71 juta,” katanya.
Selain itu, MIDF Research berkata peruncit tempatan bertukar menjadi penjual bersih dengan merekodkan sejumlah RM76.56 juta minggu lalu.

“Jualan yang dicatatkan mereka ialah RM26.6 juta, RM33.01 juta dan RM31.93 juta, masing-masing pada Selasa, Rabu dan Khamis dan pembeli bersih pada Isnin dan Jumaat masing-masing pada RM9.33 juta dan RM5.65 juta,” katanya.
Sehingga kini, firma penyelidikan itu berkata dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 24 daripada 40 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih RM6.29 bilion.
Manakala, institusi tempatan adalah penjual bersih selama 29 daripada 40 minggu, dengan jumlah keseluruhan aliran keluar bersih sebanyak RM8.47 bilion.
Ia menambah, peruncit tempatan adalah pembeli bersih untuk tempoh 26 daripada 40 minggu bagi tahun 2022.
“Setakat tahun ini, mereka telah menjadi pembeli bersih dengan mencatatkan sebanyak RM2.19 bilion,” katanya.
Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata nilai perdagangan harian secara keseluruhan, diterajui oleh pelabur asing pada -31.53 peratus, institusi tempatan (-17.76 peratus) dan peruncit pada (-9.89 peratus).
Ia merupakan petanda tidak baik dengan pelabur institusi menunggu pembentukan kerajaan baharu selepas parlimen dibubarkan pada Isnin.
