KEADILAN Kelantan, 12 NGO Bantah Cadangan Kerajaan Kelantan Ubah Suai KSAS

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kelantan, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain (tengah) bersama 12 NGO membantah cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) ketika ditemui di pekarangan Pejabat Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim, hari ini. Foto WhatsApp

KOTA BHARU, 2 Nov – KEADILAN Kelantan bersama 12 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menghantar memorandum bagi membantah cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) membabitkan kawasan seluas 514,898 hektar.

NGO terdiri daripada Pertubuhan Bantuan Kebajikan Ketereh, Himpunan Kasih, Kelab Pautan Kasih Malaysia (KPKM) Bachok, Pertubuhan Akal Fikiran Negeri Kelantan (AMK), Kelab Rakyat Kubang Kerian Progresif dan Persatuan Cakna Harapan Tumpat.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kelantan, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain, berkata pihaknya membantah cadangan pengubahsuaian KSAS yang dianggap membawa kesan buruk kepada alam sekitar termasuk menjejaskan habitat hidupan liar.

“Cadangan itu sangat tidak masuk akal dan berharap memorandum KEADILAN Kelantan bersama 12 NGO ini dipertimbangkan demi masa depan Kelantan yang lebih baik.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kelantan, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain (tengah) bersama 12 NGO membantah cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) ketika ditemui di pekarangan Pejabat Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim, hari ini. Foto WhatsApp

“Sekiranya cadangan itu diteruskan, Kelantan bukan sahaja berdepan penamatan pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT), sebaliknya banyak kesan negatif yang akan dialami termasuklah banjir besar.

“Justeru, besar harapan kami cadangan berkenaan tidak diteruskan dan banyak lagi kaedah yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha mencari hasil ekonomi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, memorandum berkenaan diserahkan kepada Ketua Penolong Setiausaha Khidmat Pengurusan Pejabat Kerajaan Negeri, Imran Mansor.

Wakil NGO Himpunan Kasih, Dr Rosli Allani Abd Kadir pula berkata, tidak mustahil selepas ini Kelantan akan berdepan banjir lebih teruk sekiranya cadangan pengubahsuaian itu diteruskan.

“Banyak benda akan berlaku dan yang menanggungnya adalah rakyat. Jika pembukaan hutan dilakukan seluas itu, binatang-binatang yang ada akan terancam dan akan keluar mencari makanan di kawasan penduduk.

“Malah, sungai juga akan berlaku pencemaran dan berharap semua aspek ini diambil kira sebelum cadangan itu diteruskan,” katanya.

Sementara itu, wakil Komoditi MADANI Tumpat, Che Mat Che Husin menggesa supaya Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad supaya menghentikan pembayaran EFT sekiranya cadangan pengubahsuaian itu dilakukan.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kelantan, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain (tengah) bersama 12 NGO membantah cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) ketika ditemui di pekarangan Pejabat Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim, hari ini. Foto WhatsApp

“Kerajaan perlu bertegas kerana banyak kesan buruk kepada cadangan berkenaan. Tidak sepatutnya bayaran masih diteruskan sekiranya pandangan kerajaan negeri tidak selari dengan Kerajaan Pusat,” katanya.

Semalam media melaporkan, kerajaan Kelantan menjelaskan cadangan pengubahsuaian KSAS hanya membabitkan seluas 514,898 hektar.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan, berkata cadangan pengubahsuaian itu tidak akan menjejaskan dasar Kerajaan Persekutuan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan.

Ini kerana katanya, Kelantan masih lagi mengekalkan keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas 629,880 hektar dan hanya mengeluarkannya daripada kawasan yang ditakrifkan KSAS seluas 514,898 hektar.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *