Kawasan ‘Hotspot’ Dan ‘Blackspot’ Di KL Dikenal Pasti

Jalan Kuching antara kawasan ‘hotspot’ di Kuala Lumpur yang memerlukan tindakan segera berikutan pertambahan mendadak kenderaan di ibu kota. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 8 Feb – Polis Kuala Lumpur mengenal pasti 50 ‘hotspot‘ (aliran trafik tinggi) dan 11 ‘blackspot‘ (kawasan sering berlaku kemalangan) di ibu kota.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata susulan itu seramai 140 anggota dan pegawai polis trafik akan ditugaskan dalam Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina.
“Antara kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti adalah di Jalan Tun Razak/susur dari Bulatan Pahang, Jalan Cheras/Jalan Ikan Ayu, Jalan Kampung Kerinchi/Bangsar South dan Jalan Sultan Ismail/Jalan Bukit Bintang.
“Antara lokasi ‘blackspot’ di Jalan Loke Yew, Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Kuching,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Allaudeen berkata, orang ramai dinasihatkan mengikut jadual perjalanan yang dikeluarkan oleh syarikat konsesi lebuh raya.
“Orang ramai juga perlu mendapatkan rehat yang secukupnya dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
“Masyarakat juga dinasihatkan jangan menjadikan hari perayaan sebagai hari malapetaka, tidak ada apa yang perlu dikejar, pastikan perjalanan anda ke destinasi selamat,” katanya.
Beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan mengamalkan pemanduan berhemah semasa perjalanan pulang ke kampung.
“Selain itu, pastikan kediaman dikunci dan diyakini selamat untuk ditinggalkan sebelum pulang ke kampung dan memberi makluman kepada balai berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang sudah dinaik taraf,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
