El Nino Dijangka Berterusan Hingga Pertengahan Tahun Ini

Fenomena El Nino dijangka melanda Semenanjung Malaysia, Sabah dan sebahagian Sarawak hingga pertengahan tahun ini. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 8 Feb – Fenomena El Nino dengan intensiti kuat yang sedang melanda dunia ketika ini, dijangka berterusan hingga pertengahan tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, fenomena itu bermula sejak pertengahan tahun lalu dan boleh berterusan sehingga 18 bulan.
“Berdasarkan ramalan terkini, ia dijangka mula melemah dan beralih kepada keadaan neutral secara beransur-ansur menjelang pertengahan tahun ini,” katanya kepada BH.
Berdasarkan episod El Nino yang terdahulu, Muhammad Helmi berkata, fenomena itu yang kuat boleh menyebabkan pengurangan taburan hujan dan peningkatan suhu udara di negara kita berbanding daripada kelaziman, terutamanya di negeri utara Semenanjung, pedalaman Perak, Kelantan dan Pahang, serta Sabah.

“Kemuncak kesan El Nino biasanya bermula pada penghujung Monsun Timur Laut (MTL) dan boleh berlarutan sehingga pertengahan tahun,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MTL 2023/2024 yang bermula pada 11 November lalu masih berterusan dan dijangka berakhir pada penghujung bulan depan.
“Kelazimannya hujan dan ribut petir akan berkurangan di fasa akhir MTL, iaitu bermula awal bulan ini hingga penghujung bulan depan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
