‘Kartel Filem’: Kerajaan Komited Banteras Budaya Dalam Industri – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, amalan sedemikian mungkin wujud apabila ada individu memegang sesuatu jawatan terlalu lama. Foto Kementerian Komunikasi

KUALA LUMPUR, 27 Sep – Dakwaan berlakunya budaya kartel dalam industri perfileman tempatan seperti didakwa segelintir pihak, mendapat perhatian dan komitmen kerajaan sepenuhnya.

Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, amalan sedemikian mungkin wujud apabila ada individu memegang sesuatu jawatan terlalu lama sehingga menyebabkan tingkah laku yang tidak disenangi segelintir pemain industri seni.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki Aksan yang mendakwa wujudnya kartel yang menentukan kejayaan sesebuah filem tempatan.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki Aksan (kanan) mendakwa wujudnya kartel yang menentukan kejayaan sesebuah filem tempatan. Foto Radzman Basiron

“Sejak saya mula menjejakkan kaki ke kementerian dan mula menyelia Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), usaha saya adalah untuk membongkar, mungkin bukan sepenuhnya kartel, tetapi lebih kepada sikap budaya lama dalam industri, dan proses itu sedang berjalan,” katanya.

“Saya belum meneliti sepenuhnya kenyataan Afdlin, namun semangat yang beliau bangkitkan itu selaras dengan usaha yang sedang kami lakukan khusus. Semangat sama juga diterapkan dalam pentadbiran kementerian, khususnya dalam komitmen menamatkan amalan seakan-akan kartel,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan kempen Malaysia JomPact anjuran WWF-Malaysia, di sini hari ini.

Tambahnya, arahan telah dikeluarkan kepada pihak berkaitan untuk meneliti setiap isu yang dibangkitkan supaya ia dapat diselesaikan secara menyeluruh.

Sebelum ini, Afdlin dilaporkan berkata wujud kartel yang menentukan kejayaan filem tempatan.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau mendakwa kartel itu mempunyai kuasa untuk memutuskan filem mana yang diberikan slot tayangan utama di pawagam tempatan dan filem mana pula yang diketepikan tanpa promosi atau pendedahan sewajarnya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *