BUDI95: ‘Tiada Masalah Dilapor, Pemantauan Diteruskan’ – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merasmikan Majlis Pelancaran Perdana: Malaysia, Jompact! di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu di Kuala Lumpur pada 27 September 2025. Foto WWF Malaysia
KUALA LUMPUR, 27 Sep – Hari pertama pelaksanaan inisiatif subsidi petrol Budi MADANI RON95 (BUDI95) di seluruh negara hari ini berjalan lancar dengan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi kumpulan terawal menikmati manfaat itu.
Tinjauan di beberapa stesen minyak sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mendapati, sistem berfungsi dengan baik tanpa sebarang gangguan manakala pengguna hanya mengambil masa kurang dua minit untuk melengkapkan transaksi pembelian petrol selain mengadakan pemantauan di seluruh negara.
Ini diakui sendiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang berkata, kerajaan menjalankan pemantauan susulan pelaksanaan awal subsidi itu yang bermula tengah malam tadi, sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) esok dan seterusnya seluruh rakyat Malaysia pada 30 September.

“Setakat ini Kementerian Kewangan (MOF) belum melaporkan tetapi kalau kita lihat dalam media sosial ada yang telah membuat hantaran (dalam media sosial) seawal 12.01 tengah malam tadi pengalaman mereka membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter.
“Hari ini dalam kalangan polis dan tentera, esok penerima STR lebih lima juta yang layak dan 30 Sept nanti rakyat Malaysia amnya. Jadi kita akan terus pantau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perdana: Malaysia, Jompact! di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu di sini hari ini.
Terdahulu, seorang pengguna terawal, Asisten Superintendan Zulfadli Zulkifli berkata, proses pembelian petrol di stesen minyak berjalan pantas dan lebih mudah dengan sistem baharu itu.

“Semuanya berjalan dengan baik cuma saya nampak stesen minyak besar lebih mudah sebab semua pamnya dilengkapi kemudahan terminal pengesahan MyKad.
“Ia lebih menjimatkan masa. Saya nampak tiada masalah dari segi sistem, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya ketika di salah sebuah stesen minyak di sini hari ini.
Seorang lagi anggota polis, Mohammad Asyraf Mohammad Fetri turut berpuas hati walaupun mengakui segelintir kakitangan stesen minyak sedikit keliru memandangkan ia hari pertama dilaksanakan.

“Bagi saya proses itu mudah dan cepat sahaja cuma mungkin ini hari pertama, segelintir jurupam masih sedikit keliru hendak guna macam mana,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Mariam Abu Hassan pula menghargai kerajaan kerana memberi peluang anggota PDRM dan ATM menjadi antara golongan terawal menggunakan BUDI95.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
