Kapal Tangki Dengan Empat Kru Asing Ditahan Bersauh Di Kawasan Larangan

Sebuah kapal tangki yang ditahan Maritim Malaysia pada kedudukan 55 batu nautika barat laut Kuala Baram petang Selasa. Foto Maritim Malaysia

MIRI, 27 Jun – Sebuah kapal tangki bersama empat kru warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada kedudukan 55 batu nautika barat laut Kuala Baram petang Selasa.

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata kapal tangki itu ditahan sekitar jam 5.34 petang oleh kapal peronda Zon Maritim Bintulu ketika menjalankan Op Khas Raja Laut 2, Op Khas Naga Timur dan Op Permai di perairan Miri.

“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati kapal tangki berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong (Master) serta tiga kru yang kesemuanya warga Indonesia.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) iaitu bersauh di kawasan larangan serta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak memiliki dokumen dan gagal memaklumkan pertukaran nakhoda secara bertulis,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, katanya, kapal tangki bersama kesemua kru diiring ke Pusat Tahan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd Kairol Anuar berkata APMM terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pesalah yang ingkar.

Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian Perkhidmatan Tindak Balas Kecemasan Malaysia 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204.

Selain itu, maklumat dan aduan juga boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau 082-432016.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *