‘Kami Tahu Di Mana Victor Chin Berada’ – Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution bertemu media selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke 219 di Kuala Lumpur pada 25 Mac 2026.
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hari ini mengesahkan pihak berkuasa mengetahui lokasi ahli perniagaan, Victor Chin yang dikaitkan dengan kegiatan ‘mafia korporat’.
Ditanya adakah lelaki itu berada di rantau ini, Saifuddin berkata, pihaknya akan mendedahkan perkara itu tidak lama lagi.
“Ya kami tahu di mana dia berada.. kita akan bagi tahu nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilapor mengesahkan ahli perniagaan itu kini berada di luar negara.
PDRM sebelum itu menyerbu beberapa premis milik Victor Chin di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang.
Mengulas sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melakukan tindakan pembatalan pasport Victor Chin, Saifuddin berkata, ia bergantung kepada hasil siasatan yang ketika ini dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
“Dalam kes ini ada beberapa siasatan dijalankan, antaranya membabitkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan satu lagi di bawah SC. Jadi biarlah siasatan itu berjalan mengikut peringkat pada satu-satu masa.
“Dalam siasatan AMLA, saya yakin dengan keupayaan PDRM dalam menetapkan hala tuju siasatan, malah kita ketika ini sedang mengesan modus operandi dan selepas itu barulah kita akan hubungi mereka yang terbabit.
“Jadi berkaitan sekatan dokumen perjalanan, kita akan tunggu hasil siasatan berjalan terlebih dahulu,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

