Ramanan Persoal Kenyataan Rafizi, Dakwa Buat Kesimpulan Tanpa Bukti

Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri R Ramanan pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh pada 25 Mac 2026.

SUNGAI BULOH, 25 Mac – Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri R Ramanan mempersoalkan kenyataan Mohd Rafizi Ramli berhubung dakwaan mengaitkan Ahli Parlimen KEADILAN dengan Victor Chin, tanpa disokong bukti.

Ia berkait dakwaan Victor yang sedang disiasat pihak berkuasa berkaitan kes korporat mafia bahawa seorang Ahli Parlimen KEADILAN meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu yang didakwanya sebagai skandal mafia korporat.

Dakwaan itu turut mencetuskan spekulasi mengenai individu dirujuk sebagai ‘Mr R’ yang dikaitkan dengan urus niaga saham berskala besar.

Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri R Ramanan pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh pada 25 Mac 2026.

Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, dakwaan itu dibuat tanpa sebarang dokumen atau fakta yang menyokong.

“Macam mana serta-merta cerita ini (dianggap benar), kita tak tahu sama ada betul atau tidak, tiada bukti, tidak ada satu pun dokumen dikemukakan sebagai bukti.

“Tapi Rafizi Ramli sudah buat penentuan, memang wujud, memang ada, walaupun belum keluar nama dan fakta,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, hari ini.

Bekas Naib Presiden KEADILAN, R Sivarasa menyelar Victor Chin, susulan dakwaan ahli perniagaan itu bahawa seorang ahli parlimen parti itu kononnya menerima RM9.5 juta.

Ramanan berkata, beliau turut menjadi sasaran apabila dikaitkan dengan individu terbabit walaupun tidak mengenalinya.

“Kalau kita lihat baru-baru ini, ‘cybertrooper-cybertrooper’ bekas Timbalan Presiden (Rafizi) serang saya seolah-olah saya yang buat kesalahan ini dan bersekongkol dengan Victor Chin.

“Padahal saya tak pernah jumpa dia (Victor), saya tak kenal dia dan saya tidak pernah bercakap dengan dia, tetapi saya tetap dikaitkan dengan perkara ini,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Rafizi yang dilihat menyalahkan agensi kerajaan dalam isu berkenaan.

“Rafizi mengatakan agensi kerajaan salah, SPRM tak betul, AMLA tak betul. Apa niat dia lindungi orang, dia hentam parti untuk selamatkan orang macam ini,” katanya.

Ramanan turut mendakwa bahawa wujud agenda tertentu di sebalik kenyataan yang dibuat.

“Sebab itu saya katakan ada agenda tidak baik, iaitu untuk memecah-belahkan parti. Sebab itu sidang media ini penting supaya kita jelaskan keadaan,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu berpegang kepada fakta dan bukti, bukan spekulasi.

“Saya tidak mahu berspekulasi, saya tidak mahu bercakap atas khabar angin dan saya tidak mahu cipta naratif palsu. Kita bercakap dengan fakta, kita bercakap dengan kebenaran dan kita bercakap dengan bukti,” katanya.

Ramanan turut mencabar pihak yang membuat dakwaan supaya menamakan individu terbabit.

“Saya cabar sesiapa untuk namakan saya, tengok saya saman atau tidak. Minta Rafizi namakan saya sebagai Ahli Parlimen itu, tengok saya saman dia atau tidak,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau sudah berbincang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait isu itu, Ramanan sebaliknya menyatakan tidak ada keperluan untuk dirinya berbuat demikian.

Hantaran Sivarasa di aplikasi X menyentuh isu drama Victor Chin pada 24 Mac 2026.

“Saya tidak perlu bercakap dengan beliau, saya Naib Presiden Parti. Perdana Menteri ada perkara lebih besar untuk difikirkan.

“Ini hanyalah percubaan untuk mencipta ‘tsunami’ berita sensasi selepas musim raya. Jangan risau, kita akan sekat tsunami itu,” katanya yang menyifatkan Rafizi sebagai menteri yang gagal.

” Apa kejayaan dia? PADU? ‘vending machine’?

“Bagi saya, dia penakut, dia tahu dia sudah gagal, dia cepat-cepat letak jawatan… sekarang apa dia buat? Seperti dulu kutuk hentam seolah-olah dia paling hebat. Nampak macam dia yang lindungi korporat mafia ini. Dia hentam parti, nak selamatkan orang macam ini,” katanya.

Oleh Nor Azizah Mokhtar

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *