Jutaan Rakyat Pakistan Keluar Mengundi Biarpun Dicemari Serangan Berdarah

Penduduk di bandar besar seperti Islamabad, Karachi, Peshawar dan Rawalpindi dijangka keluar mengundi bagi memilih kerajaan baharu yang akan berdepan inflasi dan kos sara hidup. Foto AFP

ISLAMABAD, 8 Feb – Jutaan rakyat Pakistan dijangka keluar mengundi, hari ini, dengan lebih 650,000 anggota tentera, separa tentera dan polis dikerahkan untuk menjaga keselamatan.

Kempen pemilihan Pakistan kali ini dicemari keganasan yang meragut puluhan nyawa, dakwaan penipuan pilihan raya dan pemenjaraan pemimpin popular, Imran Khan.

Bagaimanapun, mereka yang akan keluar mengundi daripada 128 juta pengundi yang layak dijangka rendah kali ini.

Parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) dijangka memenangi kerusi terbanyak selepas pengasasnya Nawaz Sharif, 74, didakwa memperoleh restu jeneral tentera.

Semalam, sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh dan lebih 30 cedera dalam dua letupan bom di luar pejabat calon di barat daya Pakistan.

Pihak berkuasa bagaimanapun menegaskan keganasan tidak akan mengganggu pengundian.

Penduduk di bandar besar seperti Islamabad, Karachi, Peshawar dan Rawalpindi dijangka keluar mengundi bagi memilih kerajaan baharu yang akan berdepan inflasi dan kos sara hidup. Foto AFP

Perdana Menteri Interim, Anwaar-ul-Haq Kakar berkata, setiap usaha untuk mensabotaj keamanan dan keselamatan akan digagalkan.

Kementerian Luar berkata sempadan darat dengan Iran dan Afghanistan akan ditutup kepada semua lalu lintas hari ini sebagai langkah keselamatan.

Sebanyak 90,000 pusat mengundi dibuka dari jam 8 pagi (0300 GMT) hingga 5 petang, di negara kuasa nuklear dengan 240 juta penduduk iaitu yang kelima paling ramai di dunia.

Hampir 18,000 calon bertanding bagi 266 kerusi di Dewan Nasional, dengan tambahan 70 kerusi dikhususkan bagi golongan wanita dan kumpulan etnik, selain 749 kerus di empat Dewan Undangan Wilayah.

Sekiranya Sharif tidak mendapat majoriti undian,beliau kemungkinan besar masih akan mengambil alih kuasa melalui gabungan dengan satu atau lebih parti termasuk Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Bilawal Bhutto-Zardari.

Penganalisis berkata penduduk Pakistan sudah hilang kepercayaan terhadap proses pemilihan yang diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sesiapa yang menang akan mewarisi negara yang berpecah belah dengan ekonomi dalam keadaan terburuk pernah disaksikan.

Inflasi meningkat sehingga hampir 30 peratus, dengan nilai rupee merudum teruk selama tida tahun dan defisit pembayaran menyebabkan import dibekukan, sekali gus menjejaskan pembangunan perindustrian. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *