Pemberontak Papua Akan Bebaskan Juruterbang New Zealand

Juruterbang New Zealand, Philip Mehrtens membaca kenyataan yang disediakan oleh sekumpulan pemisah di Papua pada 10 Mac 2023. Foto Getty Images
JAKARTA, 7 Feb – Puak pemberontak di wilayah Papua Indonesia hari ini memaklumkan, akan membebaskan seorang juruterbang New Zealand yang telah menjadi tebusan selama setahun.
Bagaimanapun, masih belum jelas, bila juruterbang terbabit, Philip Mehrtens, yang diculik tepat setahun lalu ketika mendaratkan pesawat komersial kecil di kawasan pergunungan, akan dibebaskan.
Jurucakap Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB), Terianus Satto, iaitu satu daripada beberapa kumpulan yang memperjuangkan kemerdekaan Papua dari Indonesia, dalam satu kenyataan berkata, Mehrtens akan dibebaskan untuk melindungi kemanusiaan dan… hak asasi manusia.
“TPNPB akan mengembalikan juruterbang, Philip Max Martherns kepada keluarganya melalui bidang kuasa Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan reaksi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan New Zealand masih belum berhasil.
Untuk rekod, wilayah di barat kepulauan Papua setelah berada di bawah penguasaan Belanda, telah menyertai Indonesia sebagai salah sebuah provinsi di dalam republik.
Gerakan separatis di Papua melalui Organisasi Papua Merdeka (OPM) telah dilancarkan lama dahulu bagi mencapai sebuah negara Papua yang merdeka daripada Indonesia.
Hal ini berpunca daripada ketidakpuasan hati masyarakat di wilayah itu yang mendakwa mereka telah didiskriminasi oleh pemerintah Indonesia, selain tidak diberikan layanan sama rata seperti mana di wilayah lain di Indonesia.
Kerajaan dan tentera Indonesia yang bergelut untuk menghapuskan gerakan pemisah, berkata mereka sedang menjalankan rundingan dalam usaha membebaskan juruterbang terbabit. – REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
