Jualan Rahmah, Agro MADANI Diperluas Imbangi Kenaikan Kos Sara Hidup – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dan melawat reruai Jualan Rahmah dan Agro MADANI pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, hari ini. Foto Bernama

KUALA SELANGOR, 25 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan jualan murah seperti Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI diperluaskan bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, arahan itu sudah dikemukakan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali supaya Jualan Rahmah ditingkatkan.

“Selain program Jualan Rahmah, Agro MADANI juga perlu ditingkatkan kerana jaringannya daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan nelayan dan peladang begitu besar.

“Kerajaan mahu kurangkan permasalahan ini untuk menurunkan harga barangan. Jadi, apa lagi masalah dibangkitkan oleh rakyat, kos sara hidup, barang makanan, ada langkah diambil… tentunya pengeluaran dibesarkan secara bersungguh-sungguh oleh KPDN dan KPKM,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dan melawat reruai Jualan Rahmah dan Agro MADANI pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, hari ini. Foto Bernama

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Tengah, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab bersama rakyat pada program sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan sebarang peningkatan harga barang tidak akan membebankan rakyat apabila kerajaan melaksanakan subsidi bersasar.

“Ada ketika kita tidak boleh kawal kenaikan harga barang ini seperti diesel dan petrol, tetapi kita boleh ringankan beban rakyat dengan bagi kembali subsidi yang dilaksanakan secara bersasar.

“Maknanya apabila harga barang meningkat, subsidi pun kita tingkatkan kepada kumpulan B40 dan M40 ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, subsidi bersasar perlu dilaksana supaya 3.5 juta rakyat asing tidak menerima faedah itu.

“Sama juga dengan golongan maha kaya T20 ini, kita tidak akan bagi mereka subsidi ini,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *