Rakyat Lega Pengumuman PM Anwar Tingkatkan Jualan Rahmah, Agro MADANI

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan KPDN mengadakan program Jualan Rahmah lebih kerap bagi menangani kos sara hidup pada penutupan program Karnival MADANI Zon Tengah di Kuala Selangor. Foto Jabatan Perdana Menteri

KUALA SELANGOR, 25 FebOrang ramai yang mengunjungi Program MADANI Rakyat Zon Tengah di sini, hari ini meluahkan rasa lega berikutan Jualan Rahmah serta Jualan Agro MADANI yang menawarkan harga lebih murah akan dipertingkatkan lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis perasmian penutupan program berkenaan mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk meningkatkan Jualan Rahmah serta Jualan Agro MADANI bagi mengurangkan beban rakyat sementara menunggu harga barang seperti beras dimuktamad.

Seorang suri rumah K. Jeyenthi, 50, berkata tindakan itu wajar kerana dapat membantu rakyat memperoleh barangan keperluan asas seperti beras, telur, ayam dengan harga yang murah.

“Memang sangat dialu-alukan penambahan Jualan Rahmah dan Agro MADANI, ini membantu rakyat memperoleh barang dengan mudah sebab sekarang ini nak dapat barangan pun bukan senang. Kadang-kadang barang-barang habis dan tiada stok.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan KPDN mengadakan program Jualan Rahmah lebih kerap bagi menangani kos sara hidup pada penutupan program Karnival MADANI Zon Tengah di Kuala Selangor. Foto Jabatan Perdana Menteri

“Di kawasan saya di Kuala Selangor, Jualan Rahmah ini ada dalam tiga kali sebulan, selalunya kita akan pergi ke kawasan yang berhampiran dan lagi bagus sekiranya diadakan banyak lagi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagi nelayan Abdullah Asri, 67,  beliau sentiasa menyokong segala usaha dan inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat dan berharap segala rancangan yang dilaksanakan itu berjalan lancar.

“Kita sebagai rakyat perlulah sokong kerajaan serta arahan yang diberikan oleh Perdana Menteri itu kerana kepada beliau sahaja rakyat mampu untuk mengadu dan tindakan segera boleh terus diambil.

“Dalam pada itu, sebagai seorang nelayan saya melihat kita juga perlu berusaha untuk tidak mengharapkan bantuan atau subsidi daripada kerajaan, kita juga perlu bersama-sama dengan pemimpin menolong mereka memajukan dan membawa perubahan kepada negara,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pengunjung sempena Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor. Foto Bernama

Sementara itu, tinjauan Bernama di khemah Jualan Rahmah mendapati beberapa barangan seperti beras, telur, ayam, daging hampir kehabisan stok dan dijangka habis malam ini.

Menurut jurucakap KPDN setakat petang ini, kira-kira RM180,000 hasil jualan berjaya dicapai hasil pembelian 3,000 orang sepanjang tiga hari program berkenaan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *